Tular Di Media Sosial Tanaman Strawberi Di Kedah


ALOR SETAR - Tular di media sosial sejak pertengahan Mac lalu iaitu Laman Fig Suhanis di Semeling yang mengusahakan tanaman strawberi di sini telah menerima kunjungan lebih 2,000 pengunjung sehari pada hujung minggu.

Difahamkan, pemilik ladang strawberi, Harusani Saari, 33, ini bermula sekadar hobi menanam pelbagai jenis pokok di halaman rumahnya dan tidak menyangka hasil tanamannya membuahkan hasil.

Oleh itu, dia telah mempergiat aktivitinya dengan menanam strawberi di kawasan lebih luas dan hasilnya bukan sahaja memberangsangkan, malah kini menjadi tumpuan ramai.

Kawasan tanaman strawberi seluas 1.5 ekar itu kini telah tular di laman sosial.

Jelas Harusani, ladangnya itu diwujudkan kira-kira empat tahun lalu, bermula dengan tanaman pokok tin sebelum tercetus idea untuk memulakan tanaman strawberi, kira-kira lapan bulan lalu, berselang-seli dengan tanaman pokok tin yang sudah mengeluarkan hasil.


"Sebagai permulaan saya membeli 100 anak benih dari Klang, Selangor, malah saya turut mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pegawai pertanian, apabila pokok membesar dan bercambah dengan baik saya beli tambah anak pokok baharu, kini terdapat beribu-ribu pokok strawberi di ladang ini dan kesemuanya sudah mula berbuah.

"Rasa buahnya setanding dengan buah yang ditanam di Tanah Tinggi Cameron, masam-masam manis, penjagaannya juga tidak sukar, boleh terdedah di bawah cahaya matahari walaupun iklim di sini tidak sejuk, bahkan daunnya tidak mudah diserang ulat atau dijangkiti penyakit, cuma tumpuan lebih perlu diberikan terhadap penyiraman dan pembajaan," katanya memetik Bernama.

Setelah tular, beliau sekeluarga agak terkejut apabila ladang yang sebelum ini hanya dilawati ahli keluarga, jiran dan rakan terdekat, kini mendapat kunjungan ramai.

"Saya tidak tahu siapa yang mula tularkan tetapi rasa berterima kasih kepada mereka. Saya agak terkejut pada mulanya, belum bersedia menerima kunjungan ramai, tambahan pula ketika itu cuti sekolah selama seminggu, memang tidak menang tangan, ada ketikanya mencecah 2,000 pengunjung sehari terdiri daripada pelbagai bangsa dalam atau luar negeri.

"Mula-mula viral, memang pelawat boleh petik sendiri buah tetapi apabila ada pengunjung yang datang untuk bergambar tetapi tiada buah di sini, saya sedar penambahbaikan perlu dibuat, akhirnya saya putuskan di sini hanya untuk lawatan dan bergambar tanpa dikenakan bayaran," ujarnya.


Selain itu, buah strawberi dari ladangnya dijual pada kadar (RM15/300 gram) dan anak benih (RM30-RM50 sepokok, bergantung kepada saiz). 

Malah, ada juga jualan produk hiliran berasaskan strawberi seperti aiskrim strawberi, cupcake, kek lembab, strawberi coklat, dan air strawberi.

Harusani berkata terdapat satu lagi ladang strawberi dan tin yang luasnya kira-kira enam kali ganda daripada ladang di Semeling, yang diusahakannya di Bujang, bagi membekalkan buah strawberi untuk dijual kepada pengunjung di Laman Fig Suhanis.

"Hanya Laman Fig Suhanis yang saya buka untuk lawatan, bermula pukul 9 pagi sehingga 7 malam setiap hari, jika sebelum menjadi tular, jualan buah sekitar 50 kilogram sehari bagi hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, kini mencecah antara 80 kg hingga 100 kg.

"Setakat ini hanya tujuh pekerja membantu di ladang. Ada juga hasrat untuk buka ladang di Bujang untuk lawatan, tetapi tidak mahu gopoh, banyak aspek yang perlu diteliti," katanya.

Pada masa sama, Harusani turut berkongsi nasihat kepada sesiapa yang berminat menceburi bidang pertanian agar tidak mudah berputus asa selain perlu banyak bersabar dan berusaha.

"Kena usaha, sabar, berdoa dan bertawakal dalam mengharungi dugaan, pokok pangkalnya minat walaupun tiada latar belakang pertanian seperti saya," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com