Tudung BN, UMNO Paling Laris - Peniaga Tudung Logo Parti Politik


SETIU - Siapa sangka usaha menghasilkan tudung viral berlogokan parti politik mendapat sambutan hebat sehingga terjual sebanyak 1,000 helai setakat ini.

Pengusaha tudung, Nurul Hasikin Mat Rifin, 21, berkata, biarpun pada mulanya dia agak bimbang kerana mengetengahkan tudung berkenaan tetapi rupanya bisnes itu membuahkan hasil lumayan buatnya.

“Mula-mula tu saya bimbang juga bila nak buat tudung politik ni, takut akan dipandang serong oleh sesetengah ahli politik yang lain.

“Tetapi saya tetap mahu mencuba terlebih dahulu serta yakin dengan rezeki Allah. Saya berjaya jual sehingga 1,000 helai setakat ini,” katanya yang tinggal di Taman Perumahan Binjai Manis, di sini.

Nurul Hasikin yang pada mulanya menjual pelbagai jenis tudung biasa mengambil keputusan menjual tudung parti itu bermula pertengahan Februari tahun ini.


Katanya, biarpun menjual pelbagai jenis tudung berlogokan parti BN, Umno, Pas, Amanah, PKR dan Bersatu namun, tudung BN dan Umno paling laris.

“Saya pernah siapkan tempahan sebanyak 300 helai tudung BN dan Umno malah selepas ini pun masih banyak lagi tempahan tudung parti sama,” katanya.

Nurul Hasikin yang menjadi usahawan tudung setahun yang lalu berkata, dia hanya menghasilkan tudung parti mengikut tempahan sahaja dan dalam masa sama turut menjahit tudung-tudung biasa sebagai sumber pendapatannya.

Katanya, menariknya logo parti politik pada tudung dihasilkan menggunakan manik- manik yang kelihatan lebih eksklusif dan sesuai digayakan dalam apa juga situasi atau majlis.

Katanya dalam perniagaan, sifat ingin mencuba perlu ada dan sering mencari idea untuk mencipta sesuatu yang unik, lain dari yang lain supaya menjadi perhatian pengguna atau pelanggan.

Ditanya mengenai harga, Nurul Hasikin yang menggunakan akaun Facebook dengan namanya sendiri berkata, tudung bawal itu dijual dengan harga antara RM24 hingga RM25 sehelai bergantung kepada corak atau logo parti.

Selain harga runcit, dia turut menjual dengan harga borong dari harga RM13.50 sehelai.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com