Tuduhan 'Makan Dedak' Ibaratkan Penerima Seperti Haiwan


SEGAMAT - Setiap kali musim Pilihan Raya Umum (PRU) isu sama pasti menjadi topik hangat dibicarakan iaitu isu bantuan berupa sumbangan berbentuk barangan ataupun projek pembangunan daripada parti politik yang bertanding bagi menarik perhatian pengundi.

Parti pembangkang dalam ceramah politik dan menerusi media sosial kecoh menuduh bahawa bantuan yang disalurkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi wakil rakyatnya hanyalah 'dedak' bagi mengabui mata rakyat dan menutup kelemahan dalam sistem pentadbiran kerajaan.

Tuduhan 'makan dedak' ini seolah-olah meletakkan penerimanya pada tahap haiwan.

Ibarat meludah ke langit, akhirnya jatuh ke muka sendiri, itulah ungkapan yang paling sesuai ditujukan kepada parti pembangkang yang kini dilihat sibuk menyinsing lengan untuk memikul kampit beras melangkah masuk ke ceruk-ceruk kampung mengagihkan 'dedak' kepada pengundi.

Pengerusi BN Parlimen Segamat Senator Datuk Zahari Sarip dalam temu bual dengan Bernama berkata sejak kebelakangan ini, parti pembangkang mula masuk ke pelusuk kampung-kampung, celah-celah bangunan, kawasan perumahan dan pekan menyalurkan barangan keperluan secara percuma kepada rakyat bagi mengabui mata rakyat.

"Mereka (parti pembangkang) kata pemberian tersebut adalah sumbangan untuk membantu rakyat, namun pada hakikatnya inilah 'dedak' yang mereka sebut-sebut sebelum ini yang hanya diberikan kepada orang ramai pada musim PRU sahaja," katanya.

Beliau berkata perkara ini berbeza dengan tindakan kerajaan BN yang menyalurkan bantuan kepada orang ramai sejak dahulu lagi, tidak mengira musim sama ada di dalam waktu PRU, sebelum PRU ataupun selepas PRU.

"Bagi BN, sumbangan yang diberikan adalah tanggungjawab kepada masyarakat yang perlukan pembelaan daripada kerajaan yang mereka pilih pada PRU lepas," katanya.

Katanya, parti pembangkang hanya melakukan perkara ini dalam masa dua atau tiga bulan kebelakangan ini semata-mata untuk 'pancing undi' dan mengabui mata dan mempengaruhi pemikiran rakyat seolah-olah mereka juga ambil peduli, ambil kisah dengan masalah rakyat.

Turut berkongsi pendapat yang sama, Salman Ibrahim, 45, dari Kampung Siput, Segamat yang berkata wakil rakyat dan ahli parlimen kawasan Segamat sentiasa turun padang membantu rakyat serta menyalurkan bantuan tanpa mengira masa.

"Bagi saya apa yang dilakukan oleh parti pembangkang hanyalah lakonan semata-mata, mereka hanya datang menjenguk rakyat apabila tiba musim PRU sahaja... apabila habis musim PRU nak nampak batang hidung pun susah," katanya yang berniaga di bandar Segamat.

Dia berkata pemimpin pembangkang tidak wajar menuduh pemberian kerajaan sebagai dedak kerana walaupun dituju kepada parti BN, ia turut menghina maruah orang susah.

Katanya, adakah patut pemimpin pembangkang meletakkan taraf orang kampung setaraf dengan binatang ternakan.

"Untuk pengetahuan mereka, kami makan nasi bukannya dedak... yang makan dedak adalah lembu atau kerbau.

"Kalau mereka (parti pembangkang) benar-benar ikhlas ingin membantu rakyat kenapa baru sekarang nampak muka?," katanya.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com