TPM Yakin Peroleh 2/3 Kerusi Dalam PRU-14


SUNGAI BESAR - Timbalan Perdana Menteri yakin Barisan Nasional (BN) akan kembali menguasai dua pertiga kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), sekaligus membentuk kerajaan yang kuat.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan beliau tersebut berdasarkan semangat luar biasa yang ada pada ahli BN ketika ini untuk terus membela rakyat dan menjadi kerajaan sama ada di peringkat Pusat mahupun negeri.

Menurutnya, BN kini juga lebih bersedia berbanding pilihan raya umun sebelum ini dengan sistem komunikasi di dalam talian turut diperbaiki.

“Dalam pilihan raya umum sebelum ini, majoriti pemimpin serta ahli BN seolah-olah masih belum ‘kebah’ kesan kekalahan pada PRU-12, sekaligus menyebabkan jentera parti gagal berfungsi dengan baik.

“Parti lawan juga melakukan serangan dengan cara membunuh karektor pemimpin kita. Namun, saya yakin kesiapsiagaan BN pada kali ini adalah jauh lebih baik,” katanya dalam majlis mesra rakyat di Parlimen Sungai Besar di sini malam semalam.

Yang turut hadir Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos.

Ahmad Zahid dalam pada itu mengingatkan supaya ahli BN Selangor mengetepikan hal remeh dan mengutamakan parti jika mahu merampas semula Selangor.

“Masalah kita sebelum ini juga bukan sebab tidak kuat tetapi kita kecundang apabila berlakunya titik menitik dalam kalangan ahli BN sendiri.

“Tak dapat jawatan merajuk, cucuk orang dan sabotaj parti, bila masa kita nak menang kalau kepentingan peribadi melebihi politik? Kalau nak ambil balik (Selangor), ketepi titik bengik dan utamakan parti kita,” ujarnya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com