Tolak Mahathir Bukan Semata-Mata Kerana Usia


PENOLAKAN banyak pihak terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri bukan semata-mata kerana usianya yang mencapai 93 tahun, tetapi isu-isu lain yang berkaitan.

Mahathir mungkin masih sihat, mungkin masih boleh bergerak pantas memenuhi jadual kerja padat seorang perdana menteri, dan mungkin tidak merosot kecekapan, kepintaran dan ketajaman akal pada usia sebegitu.

Tetapi Mahathir membawa satu rekod pemerintahan yang panjang selama 22 tahun, tempoh yang menyaksikan perubahan besar dalam politik Malaysia.

Tempoh pemerintahan Mahathir ialah zaman yang kuasa parti pemerintah dan perdana menteri sangat kuat dan banyak pihak merasai kesannya, daripada institusi kehakiman hingga penduduk kampung.

Mahathir menggunakan segala jentera yang dimiliki dan dikuasai untuk melaksanakan segala agendanya, tanpa mana-mana pihak boleh berkata apa-apa.

Rakyat yang hidup pada zaman Mahathir masih ramai, kerana beliau belum pun terlalu lama meninggalkan jawatan PM.

Memori zaman Mahathir tidak mudah untuk dipadamkan, dan apa yang telah dilaksanakan bukan mudah untuk diwajarkan kepada semua.

Jika dikatakan beliau sudah berubah dan mahu bertaubat dengan mengubah segala silap yang dilakukan selama memerintah, ini alasan yang sangat lemah.

Terlalu besar beban untuk diletakkan pada seorang bekas PM untuk memperbaiki kesilapannya.

Kerja memperbaiki ini tidak semestinya diserahkan kepada beliau pada masa kerajaan sedia ada juga sedang berusaha memperbaiki kerosakan itu.

Tidak adil juga kepada orang ramai sekiranya Mahathir hendak diberikan peluang menjadi PM sekali lagi, dan keputusan ini hanya diputuskan oleh sekumpulan parti pembangkang, atau lebih tepat lagi pemimpin-pemimpin parti pembangkang itu.

Parti-parti pembangkang itu hanya memperjuangkan agenda mereka sahaja sejak lima pilihan raya umum lalu.

Semuanya tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal dinobat sebagai PM. Kemudian hendak dilantik menteri besar Selangor pula. Akhirnya Mahathir hendak dilantik PM sementara.

Hakikatnya inilah agenda terbesar pembangkang, pemimpin mereka mahu jadi PM. Beri dahulu kepada Mahathir pun tidak mengapa kerana kemudian akan diberikan kepada Anwar.

Kalau kita masih ingat, isu terbesar pembangkang dalam pilihan raya umum sejak dulu hanyalah Anwar sebagai bakal PM.

Menjelang pilihan raya umum, mereka akan bercakaran berebut kerusi sedangkan kerajaan BN membentangkan manifesto dan program-program untuk membantu rakyat menghadapi kos sara hidup dan sebagainya.

Bagi pembangkang, isunya setiap kali pilihan raya umum ialah siapa bakal PM. Kali ini mereka memilih Mahathir.

Mereka yang menentang Mahathir sebagai calon PM Pakatan Harapan juga menentang politik pembangkang yang menumpu pada jawatan PM ini.

Penolakan pencalonan Mahathir juga satu pernyataan sikap menentang penetapan keputusan besar oleh pembangkang yang mahu memerintah negara secara sewenang-wenang.

Pemilihan Mahathir ialah agenda politik dan perkiraan politik kalangan parti-parti PH, tanpa mengira kehendak rakyat.

Faktor memilih Mahathir itu ialah perkiraan politik mereka untuk kepentingan mereka semata-mata.

Yang benar-benar mahu Mahathir menjadi PM didorong oleh sokongan mereka kepada Mahathir, dan mereka akhirnya akan mahu beliau kekal sebagai PM.

Yang berkompromi mahu Mahathir memegang jawatan PM sementara dan kemudian diberikan kepada tokoh pilihan mereka yakni Anwar.

Faktor pilihan rakyat dan kepentingan rakyat tidak diambil kira kerana memang sejak 1998 memperjuangkan Anwar, kepentingan Anwar dan gerombolannyalah yang diperjuangkan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com