Tokan Dadah Dari Pendang Tidak Serik, Ditahan Kali Ke-10


ALOR SETAR - Walaupun sudah 10 kali ditahan polis atas kesalahan berkaitan dadah, seorang lelaki dipercayai tokan tetap tidak serik meneruskan kegiatannya itu.

Suspek berusia 37 tahun itu ditahan sekali lagi dalam serbuan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Paya Saga di sini, pada Sabtu.

Ketika serbuan diketuai Asisten Superintendan Muhamad Amin Mat Yassin pada jam 6.30 petang, suspek sedang duduk di dalam bilik tidur rumah itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim, berkata pemeriksaan polis menemui sembilan peket plastik lutsinar (dalam keadaan bertaburan) dan tiga keratan straw lutsinar panjang berisi serbuk ketulan putih disyaki heroin dianggarkan seberat 50.94 gram (g) bernilai RM1,000 di dalam bilik itu.


"Pihak kami turut menemui satu paket lutsinar berisi serbuk hablur disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 6.72 gram bernilai RM700.

"Selain itu, ditemui sebilah gunting, satu alat penimbang digital dan beberapa keping plastik lutsinar dipercayai untuk aktiviti pembungkusan dadah.

"Suspek ditahan bersama barangan kes yang dibawa balik ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut," katanya memetik BH Online.

Jelas Fadzil, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif morfin dan methaphetamine.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 39A akta sama.

"Sebelum ini, suspek pernah ditahan mengikut Seksyen 39A (2) ADB 1952 (satu kes), Seksyen 12 (2) ADB 1952 (satu kes), Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 (enam kes) dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 (dua kes)," ujarnya.

Suspek yang menetap di Mukim Air Putih turut memiliki rekod jenayah mencuri. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com