Tokan Antara 4 Individu Ditahan AADK Di Sungai Petani


ALOR SETAR - Seorang tokan dadah adalah antara empat individu yang ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Bukit Kecil, Sungai Petani, Ahad.

Menurut Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda, Shamshuri Yusoff berkata tokan dadah berumur 36 tahun itu ditahan bersama tiga lagi individu berumur antara 30 hingga 40-an hasil maklumat dan risikan selama seminggu yang telah dijalankan.

"Tokan dan dua individu terbabit ditahan ketika cuba melarikan diri dengan cuba memecahkan tingkap bilik rumah terbabit namun tidak berjaya manakala seorang lagi individu yang berada di dalam rumah itu turut ditahan.

"Hasil pemeriksaan juga menjumpai peket mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 99.50 gram dan dadah jenis opiat seberat 44.00 gram. Turut dirampas duit berjumlah RM502 disyaki hasil jualan dadah," katanya memetik Bernama.

Tambah Shamshuri, tiga individu termasuk tokan dadah tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seorang lagi disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983. 

Katanya operasi yang bermula 8 pagi dan tamat pada 1 tengah hari semalam itu membabitkan tujuh anggota AADK bertujuan membanteras penagih dadah. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com