TMJ ‘Dilayan’ Bintang Barcelona, Jumpa Shakira


BERTUAH… Jika minggu lalu Tunku Ismail Sultan Ibrahim muncul secara mengejut meraikan rakyat di sebuah pasar raya besar, minggu ini pula sekali lagi baginda menarik perhatian ramai.

Menurut laman sosial Facebook rasmi Johor Southern Tigers semalam, kali ini Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu dipaparkan bertemu sendiri dengan sejumlah bintang bola sepak kelab terkenal Barcelona di Sepanyol kelmarin.

Turut ditemui Tunku Ismail bersama-sama dengan isterinya, Che Puan Khaleeda Bustamam ialah penyanyi Latin terkenal dunia kelahiran Colombia, Shakira Isabel Mebarak Ripoll yang turut menetap di bandar Catalonia itu.

Pentadbir akaun sosial tersebut melaporkan, pasangan diraja berkenaan sebenarnya menerima jemputan untuk datang ke rumah Shakira daripada teman lelaki kepada artis popular itu sendiri, Gerard Piqué Bernabéu.


Beliau yang berusia 31 tahun itu merupakan salah seorang kesebelasan pemain utama skuad Barca dan pasukan kebangsaan Sepanyol sendiri sejak tahun 2002 selain pernah bermain untuk Manchester United di England.

Johor Southern Tigers turut memaklumkan bahawa Tunku Ismail juga menerima jemputan khas daripada kelab gergasi Sepanyol berkenaan untuk menyaksikan sendiri mereka menjalani latihan pusat di Camp Nou.

Arena tersebut yang dibuka pada 1957 itu merupakan stadium bola sepak paling besar di Sepanyol dan benua Eropah serta rekod kedua terbesar di dunia dengan kapasiti hampir 100,000 tempat duduk.


Pada kesempatan itu, TMJ bertemu dengan beberapa bintang bola sepak antarabangsa yang kini bermain untuk Barcelona antaranya ialah pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali, Lionel Messi dari Argentina.

Turut ditemui baginda ialah pemain penyerang handalan dari Uruguay, Luis Suarez yang dilantik Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia sebagai duta khas promosi di peringkat antarabangsa sejak tahun lalu.

Tidak ketinggalan ditemui mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu pada Selasa ialah dua bintang terkenal Sepanyol, Andres Iniesta dan Sergio Busquets, selain Marc-Andre ter Stegen dari Jerman.

Namun, Tunku Ismail kekal sebagai Pengerusi Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang dijenamakan semula dan cuma fokus kepada pengurusan perlawanan Liga Malaysia. 

Sumber – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com