TMJ Beri Sumbangan Di Econsave Pontian Adalah Palsu


PONTIAN - Tindakan individu tertentu menyebarkan maklumat palsu mengenai kunjungan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ke Econsave di sini, menyebabkan berlaku kekecohan di pasar raya berkenaan.

Maklumat palsu yang disebarkan menerusi rakaman suara itu mendakwa TMJ akan pergi dari daerah ke daerah dengan membawa wang tunai berjumlah RM200,000 dan membelanjakan sekitar RM200 untuk setiap pelanggan di pasar raya itu, bermula tengah hari semalam.

Rakaman suara itu juga mendakwa bahawa individu itu tidak pasti sama ada maklumat yang diperoleh itu benar atau tidak.

Bagaimanapun, berita palsu itu dikongsi dalam aplikasi WhatsApp sehingga orang ramai menyerbu pasar raya itu sekitar tengah hari tadi sambil mengisi troli dengan barangan yang mereka fikir akan dibayar oleh TMJ.

Pengurusan Econsave Pontian kemudian terpaksa menghubungi polis untuk mengesahkan maklumat yang diterima pembeli tidak benar dan pengesahan itu menyebabkan ramai kecewa dan meninggalkan troli mereka begitu sahaja.

Beberapa anggota polis terpaksa mengawal keadaan di sekitar kawasan pasar raya itu kerana ada segelintir pelanggan tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku sebelum diminta beredar jika mereka enggan membayar barangan yang diisi dalam troli.

Pengarah Operasi Econsave, Mas Imran Adam, ketika dihubungi menafikan dakwaan pembelian percuma atau sumbangan oleh TMJ di mana-mana kedai mereka.

"Kami mengalami sedikit kerugian, tetapi apa yang menyedihkan kami adalah orang kurang upaya dan warga emas yang tidak mahu melepaskan peluang 'belanja percuma' ini," katanya.

Mas Imran berkata, pengurusan Econsave akan membuat laporan polis mengenai kejadian itu, petang semalam.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com