TLDM Nafi Dakwaan Konon Aset Tersadai


PELABUHAN KLANG – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semalam menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya aset-aset pasukannya ‘tersadai’, dan mempelawa golongan terbabit melawat Pangkalan TLDM Lumut, Perak untuk melihat sendiri keadaan aset berkenaan.

Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata sebagai pemegang amanah rakyat, TLDM sentiasa berusaha memastikan semua aset diselenggara dengan baik supaya berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi sepanjang masa.

“Saya dan warga TLDM berasa amat marah dengan kenyataan tidak benar dan tidak berasas pihak tertentu itu kerana menggunakan pasukan ini sebagai alat permainan politik mereka.

“Memang benar, kita ada dua aset kapal berusia 50 tahun tetapi ia masih berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi malah mampu menjalankan rondaan di Laut Sulu bagi menjaga keselamatan perairan negara,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menyempurnakan upacara pemakaian pangkat 16 pegawai TLDM, Tentera Darat Malaysia dan Pasukan Simpanan Sukarela TLDM di sini.

Justeru itu, Ahmad Kamarulzaman memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak mengaitkan TLDM dengan sebarang dakwaan tidak berasas atau menjadi alat permainan politik kerana ia hanya memberi impak negatif kepada pasukan tersebut.

Pada Ahad lepas, sebuah portal berita tempatan melaporkan dakwaan seorang Exco kerajaan Selangor bahawa tahap kesiapsiagaan dan mutu pasukan tentera negara berada pada tahap kritikal.

Exco itu mendakwa kebanyakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia tersadai selain kapal-kapal TLDM bersaiz kecil berbanding kapal negara luar malah ada kapal yang tidak mampu melaksanakan tugas kerana terbengkalai.

Terdahulu pada majlis pemakaian pangkat itu, Ahmad Kamarulzaman menyaksikan upacara serah terima tugas Ketua Pengarah Pusat Hidrografi Nasional (PHN) antara Laksamana Muda Datuk Fadzilah Mohd Salleh dan Laksamana Pertama Hanafiah Hassan.

Hanafiah, yang sebelum ini merupakan Pengarah Kanan PHN, mengambil alih tugas Fadzilah yang bersara wajib berkuat kuasa hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya dakwaan pihak tertentu kononnya undi tentera termasuk TLDM dianggap sebagai ‘undi deposit kerajaan’, Ahmad Kamarulzaman berkata setiap pengundi mempunyai ruang dan hak masing-masing.  – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com