“Tipulah Kalau Tak Sedih Perginya Dua Nyawa Saya” - Ibu kandung


PETALING JAYA - Kisah seorang wanita meluahkan perasaan di laman Facebook selepas terbabit dalam kemalangan ngeri sehingga meragut nyawa suami dan dua anak tirinya mengundang pelbagai reaksi netizen.

Walaupun sekadar 52 hari, Nor Hanem Senan, 30, bersyukur kerana diberikan peluang hidup bersama tiga insan tersayang itu yang kini telah menghadap Ilahi.

Sementara itu, ‘Amika Zulkifle', ibu kandung kepada Allahyarham Marissa Damia, 9, dan Arissa Rania, 8, pula tampil menyuarakan apa yang terbuku dalam hatinya.

“Sebagai manusia, tipu kalau saya tak sedih dengan pemergian dua bidadari, nyawa dan jiwa saya. Bukan sekadar anak, malah ibarat rakan serumah, tempat berbual, mengadu, untuk saya curahkan semua yang saya ada,” katanya menerusi posting di akaun Facebooknya, Rabu.


Dalam kejadian pada 27 Mac lalu, kereta yang dinaiki bekas suaminya, Shahrill Muhammad, 36, bersama isteri yang baru dikahwini pada Februari, serta dua anaknya terbabit dalam kemalangan ngeri dengan sebuah lori kontena di Bakri, Muar di Johor.

Anak keduanya, Arissa dan bekas suami meninggal dunia di tempat kejadian manakala Marissa menghembuskan nafas terakhir pada Isnin selepas bertarung nyawa selama hampir seminggu.

Menggelarkan dua anaknya dengan panggilan Mia dan Caca, wanita itu menyifatkan kedua-duanya manja, periang dan kelakar.

“Setiap hari sebelum tidur mesti nak kena bacakan buku cerita. Mandi pun macam tu, pun nak ibu mandikan. Buat kerja sekolah pun nak ibu duduk depan mata. 

“Kadang-kadang saya selalu marah mereka sebab manja sangat. Saya selalu cakap nanti kalau ibu tak ada, siapa nak manjakan macam ni,” katanya.


Namun kata Amika Zulkifle, dia juga manusia biasa yang lemah, terutama apabila dua insan tersayang pergi buat selama-lamanya.

“Tapi memang dari dulu kalau saya sedih atau nak menangis, saya akan tunggu lepas mereka tidur. Saya tak nak mereka nampak sebab kalau saya menangis depan-depan nanti mereka akan nangis dan pujuk saya,” katanya. 

Namun wanita itu bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga dan teman-teman yang rapat yang menjadi sumber kekuatannya dalam apa juga keadaan.

“Saya sendiri tak pernah terjangkau di akal bila tengok orang lain kehilangan, dan bila tiba giliran saya menerima dugaan berat ini... saya dapat bertahan. 

“Doakan saya terus istiqamah menempuh hidup yang akan datang tanpa buah hati pengarang jantung. Al-Fatihah untuk Marissa Damia dan Arissa Rania,” katanya.

Pada Rabu, mStar Online melaporkan akibat kemalangan itu, Nor Hanem mengalami patah tujuh tulang rusuk, kecederaan hati (tahap empat), limpa (tahap dua) dan paru-paru serta jangkitan pada mata kanan.

Mengenai postingnya yang tular, katanya, perkongsian secara terbuka di laman sosial kerana mahu meluahkan perasaan yang terbuku di hati sejak tragedi itu.

                 

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com