Tindakan Hishammuddin Disanjung Netizen


KUALA LUMPUR - Keprihatinan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, membantu mengikat tali kasut penerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan, pada Rabu mendapat pujian netizen di laman sosial.

Insiden berkenaan berlaku ketika majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang (PPT) 2018 di Kuala Lumpur.

Detik Hishammuddin mengikat tali kasut pelajar Muhammad Ammar Hakim Mohd Azmi, 13, yang menerima anugerah berikutan mencatat keputusan 7A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sempat dirakam sebelum dimuat naik ke Instagram miliknya.

"Tali kasut adik Muhammad Ammar Hakim, anak PW1 Mohd Azmi Laibi, tidak tersimpul rapi ketika ingin terima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan tadi, jadi saya tolonglah betulkan ikatannya.

"Agaknya dia begitu berdebar hingga terlupa mengikat tali kasut dengan baik!

"Apa-apa pun, sekalung tahniah diucapkan kepada Muhammad Ammar yang berjaya catat 7A dalam UPSR tahun lalu! #PerkasaPerwira," katanya dalam catatan Instagram itu.

Sehingga jam 4.15 petang hari ini, gambar itu mendapat lebih 6,800 likes dan lebih 200 komen di Instagram.

Dalam majlis itu, 20 anak warga Kementerian Pertahanan yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR, peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu turut menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan.

Mereka yang berjaya menerima bantuan pendidikan khas RM80 setiap bulan selama setahun bagi UPSR, RM100 (PT3) dan RM150 (SPM) termasuk sijil.

Selain itu, 31 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 30 warga awam ATM menerima APC 2018 berikutan khidmat cemerlang sepanjang perkhidmatan bagi 2017.

Majis berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohd Radzi dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com