Timbalan Presiden Dan Naib Presiden PRS Dipecat


KUCHING – Parti Rakyat Sarawak (PRS) hari ini memecat timbalan Presidennya Datuk Joseph Entulu Belaun, serta Naib Presiden Datuk William Nyalau Badak, bersama tiga lagi anggota Majlis Tertinggi kerana dikatakan ‘menganggu kesatuan parti’.

Presiden PRS Tan Sri James Masing mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas PRS di pejabat parti itu di sini malam semalam.

Entulu, yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, adalah penyandang kerusi parlimen Selangau, manakala Nyalau adalah penyandang kerusi parlimen Lubok Antu.

Tiga lagi yang dipecat ialah Nyempah Sabot, Edward Kurik dan Adriana Chumang Nyambung yang dikatakan bersubahat.

Masing berkata jawatankuasa khas yang bermesyuarat malam ini memeriksa dan mendapati kelima-lima mereka bertindak mengingkari keputusan parti mengenai calon-calon yang ditetapkan untuk bertanding atas tiket PRS pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya Entulu mengingkari keputusan parti untuk tidak mencalonkannya semula bagi mempertahankan kerusi Selangau, manakala Nyalau pula membuat pengumuman terbuka bahawa beliau akan bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Lubok Antu.

“Surat pemecatan telah disediakan dan akan dihantar kepada semua yang terlibat. Kami terpaksa melakukan ini, untuk menghentikan segala masalah yang timbul,” katanya dalam persidangan media di sini malam semalam.

Masing turut mengumumkan keputusan parti untuk meletakkan muka baharu sebagai calon PRS di Selangau iaitu Rita Sarimah Insol, dan Robert Pasang Alam di Lubok Antu.

Calon lain ialah empat anggota parlimen yang akan mempertahankan kerusi masing-masing, terdiri daripada Datuk Joseph Salang (Julau), Datuk Masir Kujat (Sri Aman), Datuk Wilson Ugak Kumbong (Hulu Rajang) dan Datuk Aaron Ago Dagang (Kanowit). – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com