Tiga Sekawan Sebabkan Lebih Sejuta Calon Terpaksa Duduki Semula Peperiksaan Di India


NEW DELHI - Kesanggupan untuk membantu seorang rakan yang hanya memberi upah beberapa ribu Rupee, dua lelaki ditahan berkaitan isu kebocoran soalan peperiksaan di India.

Sumber polis pada Ahad memberitahu, dua suspek yang bernama Rishabh dan Rohit, ditahan atas dakwaan melakukan jenayah menyebarkan maklumat sulit Lembaga Peperiksaan Sekolah Menengah (CBSE).

Kebocoran soalan itu telah menggemparkan seluruh India dan memaksa lebih daripada sejuta pelajar terpaksa mengulang semula peperiksaan itu.

Rishabh dan Rohit adalah antara puluhan suspek, termasuk pelajar dan guru, yang ditahan untuk siasatan.


Menurut polis, Rishabh dan Rohit mengenali seorang tutor, Tauqir, sejak lima tahun lalu. Tauqir, yang menjadi tertuduh ketiga dalam kes itu, telah mendesak dua rakannya itu untuk membantunya mendapatkan soalan kertas Ekonomi CBSE untuk pelajar-pelajarnya.

Siasatan mendapati jenayah tersebut dilakukan hanya dengan upah beberapa ribu Rupee, lapor portal berita NDTV.

Polis memberitahu, para petugas peperiksaan atau guru-guru, dibekalkan dengan kertas soalan pada jam 9.45 pagi pada hari peperiksaan. Sejurus menerimanya, mereka dibenarkan membuka kertas soalan tersebut dengan serta-merta. Peperiksaan bermula pada jam 10.30 pagi.

Bagaimanapun, sekolah yang menjadi lokasi kebocoran itu, Sekolah Convent Mother Khajani, dikatakan telah menerima kertas soalan pada jam 9.10 pagi.

Itu memberi peluang dan masa yang cukup untuk Rishabh dan Rohit mengambil gambar soalan-soalan peperiksaan, seterusnya dihantar kepada Tauqir.

Tauqir kemudiannya menyebarkan gambar-gambar itu kepada para pelajar.

"Kami juga sedang menyiasat sama ada trio itu terlibat dalam membcorkan lebih banyak soalan kertas peperiksaan pada tahun ini dan tahun sebelumnya.

Rishabh mengajar subjek Fizik, manakala Rohit pula mengajar mata pelajaran Matematik di sekolah tersebut. Tauqir pula ialah tutor subjek Ekonomi di pusat tuisyen swasta di Delhi.

Polis berkata, trio itu telah merancang konspirasi itu sejak dua minggu sebelum musim peperiksaan bermula.

Kes melibatkan tiga suspek ini hanya untuk kebocoran kertas soalan Ekonomi. Pihak berkuasa kini terus menjalankan siasatan tentang dakwaan kebocoran soalan bagi subjek Matematik dan Kimia.

Insiden kebocoran itu telah membuatkan ribuan orang termasuk pelajar dan guru marah dan seterusnya melancarkan protes di jalanan. Mereka mendakwa Lembaga Peperiksaan negara itu cuai dalam tanggungjawab mereka.

Kesannya, lebih sejuta calon di seluruh negeri dan kawasan terjejas terpaksa menduduki semula peperiksaan itu.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com