Tiada Permit, Polis Panggil Penganjur Himpunan Bantah GST


Polis akan memanggil penganjur kempen “Rakyat tolak Kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)” yang diadakan di sekitar Kompleks Beli-belah Sogo di Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharuddin Abdullah berkata polis tidak menerima sebarang permohonan bagi mendapatkan permit berhubung penganjuran kempen itu.

“Kita akan panggil penganjurnya untuk siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata keadaan di sekitar kompleks beli-belah itu terkawal sepanjang kempen tersebut berlangsung sejak pukul 4 petang tadi dan tiada individu ditahan setakat kini.

Shaharuddin berkata kira-kira 40 peserta menyertai kempen tersebut yang diadakan bagi membantah pelaksanaan GST.

Tinjauan Bernama mendapati peserta berarak sejauh kira-kira satu kilometer dari situ dengan membuat bising bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap pelaksanaan GST sehingga menyebabkan kesesakan lalu-lintas.

Turut kelihatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin.- Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com