Tiada Masalah Ziarah Jabal Rahmah


MAKKAH - Tiada halangan jemaah menziarahi lokasi bersejarah di sekitar kota Makkah seperti yang ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Ini terbukti apabila jemaah dari Malaysia mengunjungi Jabal Rahmah yang turut dikatakan antara tempat yang dilarang untuk berziarah.

Sekumpulan jemaah dari Malaysia tiba di Jabal Rahmah pada jam 8.30 pagi dan bebas bergambar, berbelanja dan mendaki Bukit Rahmah tanpa sebarang halangan.

Pada 19 April lalu, ramai dikejutkan dengan mesej mengenai larangan dan pengharaman berkunjung ke beberapa tempat di kota Makkah.

Antara tempat itu ialah Jabal Tsur, Jabal Noor dan Jabal Rahmah.

Mesej WhatsApp itu turut mengandungi gambar lokasi berkenaan dengan perkataan 'DIHARAMKAN' sehingga mencetuskan kekalutan dan persoalan dari jemaah yang baru tiba di Tanah Suci.

Menurut Pengarah Urusan Zainal Kembara, Zainal Abidin Yusof, jemaah tidak perlu risau mengenai mesej yang tular itu kerana terbukti jemaah umrah boleh menjejakkan kaki ke tempat berkenaan.

Beliau berkata, mesej itu menakutkan jemaah termasuk waris mereka di tanah air.


Katanya, jika agensi pengendali umrah mempunyai permit sah daripada Kementerian Haji Arab Saudi untuk membawa jemaah berziarah, tidak timbul sebarang masalah seumpama itu.

"Sebahagian besar pengendali umrah mendapat permit bas daripada syarikat yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan tiada larangan untuk berziarah," katanya ketika ditemui di Jabal Rahmah.

Sehingga lewat petang semalam, ramai jemaah yang membangkitkan perihal larangan itu sehingga mencetuskan kebimbangan.

Bagaimanapun, Jabal Tsur dan Jabal Noor tidak termasuk dalam atur cara jemaah umrah sejak kebelakangan ini bagi mengelakkan kesesakan serta perbuatan khurafat dalam kalangan segelintir jemaah dari negara lain.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com