Tiada Istilah Undi Rosak Ketika Kira Undi


KUALA LUMPUR - Tidak wujud istilah undi rosak ketika pengiraan undi dilakukan, kata Timbalan Pengarah Akademi Pilihan Raya, Norlinah Jamman.

Beliau berkata, istilah undi rosak hanya terpakai kepada kertas undi yang tidak dimasukkan dalam peti undi antara jam 8 pagi hingga 5 petang ketika hari pengundian.

"Contohnya, kertas undi terkoyak secara tidak sengaja dan pengundi memohon kertas undi baharu daripada ketua tempat mengundi.

"Kertas undi yang terkoyak itu istilahnya adalah kertas undi rosak dan ia tidak dimasukkan dalam peti undi," katanya pada sesi temu bual dalam rancangan Assalamualaikum yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Al-Hijrah, kelmarin.

Norlinah berkata, istilah tepat bagi kertas undi yang tidak diterima atas faktor tertentu, adalah undi ditolak.

"Undi ditolak adalah kertas undi yang ditanda selain tanda pangkah dan akan dimasukkan dalam dulang undi ragu ketika pengiraan dilakukan.

"Ketua tempat mengundi akan menentukan sama ada kertas undi itu boleh diterima, namun jika ditolak, istilah sebenarnya adalah kertas undi ditolak, bukannya undi rosak," katanya.

Norlinah berkata, hanya kertas undi yang ditanda pangkah akan diterima, manakala tanda lain akan ditentukan ketua tempat mengundi sama ada diterima atau sebaliknya.

Katanya, kertas undi juga perlu dilipat dengan kaedah lipatan yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan ia tidak terbuka selepas dimasukkan dalam peti undi, sekali gus mengekalkan kerahsiaan pengundian.

Sementara itu, Norlinah berkata, ketua tempat mengundi berhak untuk tidak membenarkan pengundi mengundi atas beberapa faktor, termasuk jika nama tiada dalam daftar pemilih, wajah tidak sama dengan kad pengenalan atau terdapat tanda dakwat di jari.

"Jika ada kesan dakwat di jari pengundi ketika pemeriksaan, ketua tempat mengundi akan menelitinya dan jika berpuas hati itu bukan dakwat pilihan raya, beliau boleh memberi kebenaran kepada pengundi (untuk mengundi).

"Namun, jika ketua tempat pengundi menganggap ia dakwat pilihan raya, beliau boleh untuk tidak memberikan kertas undi kepada pengundi terbabit. Itu kuasa ketua tempat mengundi," katanya.

INFO: Langkah pengundian pada hari mengundi:

1. Apabila tiba di pusat mengundi, semak nama di barung disediakan SPR.

2. Anda akan diberikan slip nombor menunjukkan saluran pengundian.

3. Bergerak dan beratur di saluran pengundian. Anda akan dibantu pemandu arah pusat mengundi.

4. Apabila masuk ke tempat mengundi, berikan kad pengenalan kepada kerani pengundian pertama.

5. Kerani pengundian pertama akan memeriksa nama dalam daftar pemilih dan melihat sama ada wajah dalam kad pengenalan sama dengan wajah pengundi.

6. Jari di kedua-dua belah tangan anda disemak bagi memastikan tiada sebarang dakwat pilihan raya.

7. Jari telunjuk kiri anda akan dicelup dakwat oleh kerani pengundian kedua. Ketua tempat pengundi berhak melarang anda mengundi jika anda enggan dicalit dengan dakwat.

8. Ketika jari dicelup, kerani pengundian pertama akan menyebut nama anda supaya ejen tempat mengundi boleh memeriksa nama pengundi dalam daftar pemilih.

9. Kerani pengundian ketiga akan memberi kertas undi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

10. Tandakan pangkah pada ruang kosong disediakan dan lipat semula kertas undi seperti mana kertas itu dilipat ketika ia diberikan kepada anda.

11. Masukkan dalam peti undi.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com