The Rock Gesa Lelaki Luah Masalah Kemurungan


LOS ANGELES – Pelakon popular Hollywood, Dwayne Johnson, semalam mengaku bergelut dengan kemurungan selepas melihat ibunya cuba membunuh diri.

Beliau yang berusia 45 tahun kini menggalakkan lelaki yang berhadapan masalah itu untuk bercakap mengenai perjuangan mereka dan mendapatkan bantuan.

“Kemurungan tidak mengenal sesiapa. Saya mengambil masa panjang untuk menyedarinya tetapi kunci utama adalah tidak takut untuk bercakap mengenainya.

“Terutama kita, lelaki yang cenderung merahsiakannya. Anda tidak bersendirian,” kata pelakon dikenali dengan gelaran The Rock itu menerusi akuan Twitter kepada 12.7 juta pengikutnya di laman sosial itu.

Johnson yang kini rancak mempromosikan filem aksi terbitan Warner Bros, ‘Rampage’, memberitahu akhbar Britain, Express on Sunday, beliau berhadapan masalah itu selepas menyaksikan ibunya cuba bunuh diri ketika masih remaja.

“Saya sampai ke tahap tidak mahu berbuat apa atau pergi ke mana-mana. Saya asyik menangis,” kata bintang ‘Fast & Furious’ itu.

Johnson menceritakan beliau baru berusia 15 tahun apabila melihat ibunya, Ata, berjalan ke arah kenderaan di lebuh raya di Nashville sejurus selepas dihalau daripada pangsapuri.

Beliau sempat menarik ibunya tetapi tenggelam dalam kemurungan beberapa tahun.

Memburukkan keadaan, beliau mengalami kecederaan yang menghalang kerjayanya dalam sukan bola sepak Amerika dan putus cinta dengan teman wanitanya.

“Kami pulih tetapi selalunya melakukan yang terbaik untuk memberi perhatian apabila ada orang lain dalam kesakitan,” katanya.

Johnson mencipta nama sebagai ahli gusti profesional pada 1990-an sebagai ‘The Rock’ dan mempertimbangkan menceburi politik.

Forbes melaporkan beliau sebagai pelakon kedua menerima bayaran paling mahal dengan AS$65 juta (RM251 juta) sepanjang 2017.

Sumber – Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com