TH Khuatir Masa Depan Pendeposit, Jemaah Haji Jika Pembangkang Berkuasa


ALOR SETAR – Tabung Haji menyatakan kegusaran terhadap segala kemudahan termasuk subsidi yang diberikan kepada jemaah haji dan juga pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) kemungkinan besar akan terjejas jika pembangkang menguasai kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, hubungan baik negara dengan Arab Saudi dilihat mampu memberi impak besar sekiranya tampuk pemerintahan negara berpindah kepada pembangkang.

“Bayangkan sekarang pun kita mendapat subsidi sehingga RM400 juta setahun untuk mengerjakan ibadah haji serta pelbagai kemudahan yang diberikan kerajaan Arab Saudi kepada jemaah kita disebabkan hubungan baik kita dengan mereka dan jika kita kalah, semua ini tidak mungkin akan dinikmati lagi.

“Bukan saja TH tetapi apa saja yang berkaitan dengan pelbagai institusi seperti maahad tahfiz, sekolah agama serta pondok malah masa depan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sekali pun akan terjejas,” katanya selepas menyampaikan sumbangan sebuah van kepada Maahad Tahfiz Darul Hijrah di Baling, kelmarin memetik Bernama.

Sumbangan berbentuk sebuah kenderaan itu bertujuan sebagai kemudahan kepada hampir 100 pelajar di situ untuk berulang alik ke masjid atau sekolah setiap hari.

Dalam perkembangan lain, Abdul Azeez yang juga anggota Parlimen Baling berkata rakyat harus buka mata dan lihat komitmen yang ditunjukkan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membangunkan pengajian Islam.

Melalui Yayasan Pembangunan Rakyat Baling, yang dipengerusikannya, usaha bagi memastikan keperluan 60 pusat tahfiz di Baling dipenuhi akan dilipat-gandakan agar ia menjadi kenyataan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com