Tetap Guna Logo PKR


PETALING JAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan terus menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) walaupun Mahkamah Tinggi, hari ini menggantung keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang membubarkan sementara pendaftaran parti itu.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan mengekalkan penggunaan logo PKR itu dibuat kerana pakatan pembangkang sudah memutuskan untuk menggunakan logo itu sebelum ini.

"Dengan keputusan mahkamah hari ini, bermakna kedudukan PPBM belum dan tidak terbatal. Namun, kita sudah membuat persiapan awal mengenai soal kerjasama dalam pakatan, yang mana kita sudah bersetuju menggunakan logo PKR.

"Semua calon (PPBM) yang sudah dipilih akan tetap bertanding menggunakan simbol PKR kerana status (parti) tidak tergugat dengan keputusan terbaru mahkamah," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mahkamah Tinggi hari ini menggantung keputusan ROS yang membubarkan sementara pendaftaran parti itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Majlis Presiden pakatan pembangkang sebelum ini sudah menetapkan penggunaan logo PKR pada PRU-14 dan ROS juga tiada halangan untuk mana-mana parti dalam gabungan itu menggunakan logo terbabit.

"Tidak kira apa saja status (PPBM), kita akan menggunakan satu logo saja iaitu logo PKR kerana ini sudah dipersetujui semua pihak.

"Bagaimanapun, kami amat bersyukur dengan keputusan mahkamah dan we are back again (kami sudah kembali). Keputusan mahkamah memberi kami semangat baru dan motivasi untuk terus bekerja," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com