Terima Calon Diumumkan BN Dengan Hati Terbuka


JOHOR BAHRU – Tan Sri Shahrir Abd Samad meminta anggota UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain menerima calon-calon komponen itu bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan hati terbuka dan terus berganding bahu memastikan kemenangan BN dalam PRU kali ini.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu berkata sudah menjadi lumrah akan ada yang tidak terpilih atau dipilih semula sebagai calon dan perlu bersama-sama meneruskan perjuangan BN dalam membela nasib rakyat.

“Kita (BN) adalah sebuah parti yang sudah lama dan matang jadi kita harus patuh pada disiplin. Ini adalah PRU dan tidak akan ada calon yang sempurna melainkan yang terbaik antara mereka yang terpilih.

“Tidak gunanya merajuk kerana yang paling utama ketika ini adalah menentukan kemenangan berpihak kepada BN,” katanya ketika diminta mengulas akan kemungkinan unsur sabotaj daripada mereka yang tidak tersenarai sebagai calon pada PRU14.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pembukaan Taska Muafakat Yayasan Bandaraya Johor Bahru dan Pemberian Subsidi Yuran Taska Bagi Golongan B40 di Pangsapuri Desa Dato Hajjah Hasnah, di sini, semalam.

Shahrir selaku penyandang kerusi Parlimen Johor Bahru berkata, apa yang penting adalah untuk berganding bahu menguatkan lagi sokongan rakyat terhadap BN dengan melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

“Tugas saya kini sebagai pengarah pilihan raya Johor Bahru adalah untuk memastikan ketiga-tiga calon BN untuk kerusi Parlimen ini dan dua DUN berjaya dalam PRU kali ini.

“Saya melihat ada penerimaan yang kuat terhadap BN di Johor Bahru, sebab itu kita mahu sokongan ini diterjemahkan kepada undi dan kemenangan BN dalam PRU akan datang, Insya-Allah,” katanya. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com