Tentera China Ada Radar Boleh Kesan Nyamuk


CANGGIH… Pihak berkuasa China berjaya membangunkan sebuah radar tentera super sensitif yang mampu mengesan pergerakan sayap dengung nyamuk sehingga jarak sejauh dua kilometer.

Prototaip alat tersebut sudah diuji di sebuah makmal pertahanan Institut Teknologi Beijing (BIT), menurut media tempatan memetik kenyataan seorang saintis kanan projek penyelidikan kerajaan yang dirahsiakan identitinya itu.

“Usaha kenal pasti dan jejak waima sasaran sebesar saiz seekor nyamuk kini bukan lagi fiksyen sains. Kami telah hampir bawa teknologi ini daripada makmal dan digunakan untuk menyelamatkan nyawa manusia,” katanya.

Projek rahsia itu melibatkan teknologi sensitif sistem pertahanan peluru berpandu moden China yang lazimnya dijadikan senjata perisai untuk memintas aktiviti serangan udara secara mengejut oleh pihak tentera musuh luar.

Nyamuk setakat ini didakwa paling banyak membunuh manusia berbanding rekod kematian akibat semua perang yang digabungkan malah gigitan mereka meragut sejuta nyawa, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Serangga itu memainkan peranan sebagai hos organisma mikro pembawa penyakit daripada sakit malaria, denggi, chikungunya dan virus terbaharu zika tetapi pengawalan kedatangan nyamuk masih menjadi cabaran terbesar.

Ini kerana haiwan itu gagal dikesan dan cuma dapat dijejak telinga apabila dengungan bising dihasilkannya sudah hampir pada tubuh manusia. Nyamuk lazimnya menyerang manusia berdarah jenis O dan berbau asid akibat peluh.

Rekod radar tentera paling canggih pernah dicipta Agensi Pertahanan Peluru Berpandu Amerika Syarikat (AS) iaitu X-band berpangkalan di dasar laut ketika ini mampu kesan objek sebesar bola besbol pada jarak 4,000 kilometer.

“Radar tentera China ini sebaliknya boleh dianggap senjata panduan tepat dalam perang manusia dalam memerangi makhluk paling pembawa maut di bumi,” kata penyelidik Universiti Pertanian China di Beijing, Prof. Liu Xingyue.

Secara prinsipnya, China pernah memajukan sistem radar moden dengan ciri-ciri sama untuk menjejak peluru berpandu dan pesawat kalis radar iaitu stealth namun saintis percaya projek itu disesuaikan bagi mengesan nyamuk.

Pasukan diketuai oleh Long Teng itu dipercayai menerima dana lebih 82 juta yuan (RM49.8 juta) daripada kerajaan pusat pada akhir tahun lalu untuk membina radar penjejak objek bersaiz nyamuk dan kemudian diuji di lapangan.

Long merupakan Pengarah Institut Penyelidikan Teknologi Radar di BIT dan cukup disegani ramai pihak kerana banyak mengetuai program radar utama tentera kebangsaan China sejak sekian lama. 

Sumber – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com