Tapak Kaki Manusia Tertua Di Amerika Utara


MONTREAL - Bekas tapak kaki manusia berusia lebih 13,000 tahun ditemui di sebuah pulau di luar pantai barat Kanada, sekali gus menjadi penemuan yang tertua di Amerika Utara, menurut satu kajian yang diterbitkan pada Rabu.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal PLOS ONE, tapak kaki berkenaan berkemungkinan milik dua orang dewasa dan seorang kanak-kanak yang berjalan di atas tanah liat yang kini adalah pantai di Pulau Calvert di timur laut Pulau Vancouver.

Penulis utama dan profesor antropologi di Institut Hakai dan Universiti Victoria, Duncan McLaren berkata, sejumlah 29 bekas tapak kaki ditemui ketika kerja penggalian bermula sejak 2014 hingga 2016.

Kajian itu menunjukkan bahawa manusia wujud di pantai Pasifik di British Columbia kira-kira 13,000 tahun lalu dan ketika itu kawasan berkenaan bebas daripada ais.

Penemuan itu menguatkan lagi hipotesis bahawa manusia pertama tiba di Amerika Utara selepas berhijrah dari Asia melalui laluan bebas ais di sepanjang pantai dan akhirnya tiba di tempat yang kini dikenali British Columbia. - AFP.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com