Taman Sakura Kedah Bakal Dibina Di Alor Setar?


ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kini dalam perbincangan untuk membina  ‘Taman Sakura Kedah’ di Alor Setar sebagai satu tarikan baru di negeri Jelapang Padi itu.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zohdi Mohd Saad berkata, pokok tekoma atau lebih dikenali sebagai sakura Kedah oleh rakyat jelata di negeri itu kini menjadi satu simbolik bandar Alor Setar.

“Untuk itu, pihak kami telah memilih lokasi bersesuaian demi merealisasikan hasrat mewujudkan taman khas seperti di luar negara, sebagai contoh Jepun kepada orang ramai itu.

“Berdasarkan perancangan, MBAS berhasrat membina Taman Rekreasi Keriang Pulau, Tandop, di sini, dipenuhi pokok sakura Kedah,” katanya.


Katanya, taman rekreasi berkenaan digambarkan akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan prasarana, seperti tasik buatan dan laluan bagi membolehkan orang ramai menikmati pemandangan indah.

Setakat ini, menurutnya, MBAS menerima permohonan cadangan daripada pelbagai pihak untuk mewujudkan Taman Rekreasi Keriang Pulau tersebut.

“Insya-ALLAH, masyarakat berpeluang menerokai keindahan panorama alam sekitar di taman khas berkenaan dalam tempoh dua tahun lagi sekiranya tiada aral melintang,” katanya.

Tambahnya lagi, pokok sakura Kedah akan berkembang mekar ketika musim panas terik di negeri ini, iaitu antara Januari hingga Mac lantas menghiasi laluan utama di Alor Setar, Kuala Kedah dan Pokok Sena.


Malah, beliau turut menggalakkan pemaju taman perumahan baharu supaya menanam pokok sakura Kedah dalam usaha mengindahkan panorama dan menambahkan keceriaan di bandar raya ini.

Katanya, MBAS telah menanam lebih 1,000 pokok dengan pelbagai warna seperti merah jambu, putih dan ungu itu di beberapa kawasan baharu, antaranya Jalan Pokok Sena.

Pada awal Mac lepas, penduduk setempat melahirkan keterujaan apabila pokok sakura Kedah mula berbunga di Jalan Kuala Kedah, Jalan Langgar dan Jalan Tun Razak. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com