Tak Pernah Putus Asa Kejar Kejayaan


ALOR SETAR - Berkat usaha serta kegigihannya dalam mengejar kecemerlangan dari segi akademik dan kokurikulum, teketunan itu akhirnya membawa kepada kejayaan lantas mengangkat beliau menjadi seorang ikon pelajar di sekolahnya.

Sarah Muhamad Sufian, 18, berkata dia akan melakukan sesuatu perkara itu bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan.

Jelasnya, jika menginginkan sesuatu kejayaan usaha yang kuat perlu dilakukan, sekiranya tidak berhasil maka berusahalah dengan lebih kuat supaya akhirnya ia akan berhasil.

“Tiada istilah putus asa dalam kamus hidup saya dan saya sentiasa mencabar diri saya untuk menyertai apa jua pertandingan supaya boleh bergelar juara,” katanya memetik Sinar.

Selain usaha, guru-guru di Sekolah Menengah Agama Fauzi juga dikatakan banyak membantu dirinya untuk cemerlang di dalam pelajaran dan kokurikulum.

Anak sulung daripada empat adik beradik ini sentiasa bersemangat untuk berjaya bagi membolehkan dirinya menjadi contoh dalam keluarga.

“Umi saya seorang guru di sekolah agama rakyat, ayah pula seorang nelayan, jadi semangat saya untuk berjaya tu sangat kuat supaya saya boleh bantu mak ayah suatu hari nanti,” katanya.

Tambah Sarah, ibunya sangat mementingkan aspek pendidikan agama sejak kecil sehingga dewasa.

“Apabila didikan ke arah agama itu mula ada dalam diri saya berasa sangat senang untuk terus berada di sekolah agama,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com