Tak Mahu Tun M, 11,500 Ahli PKR P. Pinang Ancam Boikot PRU-14


PERMATANG PAUH – Suara bantahan ahli akar umbi PKR berhubung keputusan pimpinan parti itu membenarkan Tun Dr. Mahathir Mohamad menggunakan logo parti mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terus bergema.

Terbaharu, lebih 50 ahli PKR dari Batu Kawan dan Permatang Pauh bertindak nekad apabila berdemonstrasi di hadapan Ibu pejabat PKR negeri di sini sebagai tanda protes.

Bekas Ketua Cabang PKR Batu Kawan, A. Loganathan berkata, keputusan itu dianggap sebagai tidak berprinsip dan tidak bermaruah.

“Apabila berfikir tentang pelbagai tuduhan yang Dr. Mahathir lakukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu, yang paling kami tidak dapat terima adalah tuduhan liwat.

“Bagaimanapun sekarang mereka membenarkan beliau gunakan logo PKR, kami sangat tidak berpuas hati," katanya di sini semalam.

Terdahulu, Loganathan bersama kira-kira 50 ahli PKR mengadakan demonstrasi membantah keputusan berkenaan dengan turut membawa pelbagai poster antaranya bertulis ‘Akar Umbi PKR Tolak Tun Mahathir (Mahazalim)’, ‘Selamatkan PKR Daripada Tun Mahathir’ dan ‘Tun Mahathir Adalah Musuh Sebenar PKR’.

Mereka turut melaungkan slogan berbunyi ‘Kami Tidak Mahu Mahathir’.

Pada masa sama, Loganathan memberi amaran kepada pemimpin PKR yang tidak mengendahkan bantahan ahli akar umbi berhubung perkara berkenaan.

“Mereka hanya mahu kuasa. Saya ingin maklumkan, ketika ini, saya dan rakan-rakan akan memastikan 11,500 ahli PKR berketurunan India tidak akan keluar mengundi pada PRU-14 malah kami akan memboikot jentera parti sepanjang tempoh kempen,” katanya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com