Tak Kisah Digelar Suami 'Dukun' - Khairuddin



JASIN - Calon PKR bagi kerusi Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan tidak sesekali akan menggunakan populariti isterinya yang juga aktres terkenal, Datin Seri Umie Aida untuk memancing undi.

Penyelaras Gerakan Deklarasi Rakyat yang menentang penyandang kerusi itu, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan calon daripada PAS, Abd Alim Shapie yakin mampu berdikari tanpa perlu menumpang populariti sesiapa.

"Saya akui ada tempat yang orang kenal dan ada yang tidak kenal saya.

"Tetapi, menjadi suami kepada pelakon adalah anugerah buat saya sehingga ramai yang memanggil saya suami Dukun (merujuk kepada filem Dukun yang dilakonkan Umie Aida).

"Dia (Umie) orang seni, saya orang politik, jadi biarlah orang kenal saya sebagai orang politik," katanya ketika ditemui selepas penamaan calon di Dewan Politeknik Merlimau Melaka, di sini, semalam.

Dalam filem Dukun yang turut dibintangi Adlin Aman Ramlie, Faizal Hussein, Bront Palarae, Elyanan dan Mislina, Umie Aida membawa watak sebagai pengamal ilmu hitam.

Khairuddin yang juga bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan dan kini menetap di Merlimau sejak sebulan lalu, menyifatkan tiada isu harus dibangkitkan jika beliau bukan calon anak Melaka sekali pun.

"Jadi, dakwaan banyak pihak yang mengatakan saya 'calon import' tidak perlu dijadikan isu kerana kita berhak bertanding di mana saja.

"Paling penting, kita dapat berikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com