Syurga Taman Bunga Di Dubai Buat Pencinta Bunga


UNIK… Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya mencipta sejarah apabila mengubah landskap padang pasirnya, Al Barsha South menjadi taman bunga mega yang dikenali Dubai Miracle Garden.

UAE yang dikategorikan antara 10 buah negara terkaya itu menempatkan kawasan taman bunga tersebut dengan keluasan 72,000 kaki persegi serta mengandungi lebih 109 juta bunga-bungaan pelbagai spesies dan warna.


Taman bunga yang terletak di Dubai ini telah dilancarkan pada 14 Februari 2013 dengan mendapat pengiktirafan daripada Guinness World Records pada 2 Disember 2016.

Mengikut purata tahunan, direkodkan hampir 1.5 juta orang pengunjung yang hadir ke taman gergasi tersebut.

Bukan sekadar itu, Dubai Butterfly Garden turut dibina di kawasan tersebut sebagai taman rama-rama dengan mempamerkan 15,000 ekor rama-rama terdiri daripada 26 spesis.


Lapor Harian Metro, bunga-bunga yang ditanam dengan pelbagai warna dan bentuk yang menjadi tarikan utama buat para pengunjung datang ke kawasan berkenaan.


Antara bunga yang bakal dijumpai oleh pengunjung adalah bunga berbentuk hati, wajah manusia, kapal terbang, haiwan dan piramid.


Pasukan rapi khas yang terdiri daripada pakar hortikultur dan tukang kebun berpengalaman telah ditugaskan untuk menjaga dan memelihara kawasan tersebut.


Setiap arca bunga akan ditukar mengikut tema dalam pelbagai pameran supaya pengunjung boleh datang acapkali tanpa bosan dan jemu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com