Syamsul Debat Anak Bekas Wakil Rakyat, Calon Baharu


SEREMBAN – Personaliti program motivasi dan keagamaan, Syamsul Amri Ismail atau Syamsul Debat adalah antara muka baharu yang ditampilkan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini.

Syamsul, yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, menganggap pemilihan beliau sebagai acalon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat adalah satu amanah dan tanggungjawab berat yang perlu digalas dengan sebaiknya.

Pemilihan Syamsul Amri, 41, sekali gus bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di DUN Sikamat melibatkan calon PKR, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan Rahim Yusof daripada PAS.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, R. Thinalan menyifatkan pemilihan beliau sebagai calon bagi kerusi DUN Sri Tanjung sebagai meneruskan legasi mendiang bapanya, Datuk T. Rajagopalu, yang meninggal dunia pada 25 Ogos 2014.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, mendiang bapanya yang merupakan bekas Setiausaha Agung MIC Kebangsaan, adalah wakil rakyat di kawasan itu selama sepenggal pada 2004.

“Pada tahun 2008, kerusi berkenaan telah dimenangi pembangkang dan hasrat saya kali ini untuk merampas kembali kerusi tersebut serta kembalikan kegemilangan kawasan DUN itu,” katanya kepada Bernama di sini.

Ketua Penerangan MCA Negeri Sembilan, Ho Choi Sin pula menganggap pemilihan beliau sebagai calon DUN Mambau adalah sejarah dalam kerjaya politiknya.

Bagi calon Parlimen Seremban yang juga Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Chong Sin Woon, beliau berjanji akan bekerja keras memastikan kemenangan BN sekali gus mahu menyumbang satu kerusi kepada pembentukan kerajaan pusat.

“Sebagai penerima watikah calon pada hari ini, maka saya memikul tanggungjawab yang besar dan akan berusaha bersama jentera parti di Parlimen Seremban untuk menemui seberapa ramai pengundi semasa berkempen yang saya telah lakukan selama ini.

“Saya yakin dan percaya barisan yang diumumkan pada hari ini apabila diberi mandat oleh rakyat kelak, akan menyampaikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat,” katanya. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com