Suspek Tembak Dr Fadi Menetap Di KL Tiga Bulan - KPN


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa dua lelaki warga asing yang dipercayai suspek utama kes pembunuhan imam dan pensyarah warga Palestin Dr Fadi Mohammed Al Batsh pernah mendiami beberapa kawasan di sekitar ibu negara, sejak tiga bulan lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata antara tempat yang mereka diami ialah sebuah rumah inap di Jalan Ipoh, di sini.

“Suspek bukan sahaja tinggal di kawasan Segambut, malah di beberapa kawasan lain. Jadi tidak perlu saya jelaskan dengan terperinci mengenai rumah inap itu memandangkan suspek tinggal di situ hanya seketika sahaja.

“Selain itu, PDRM juga telah menghubungi Interpol dan pihak berkuasa beberapa negara di rantau Asia untuk mengesan suspek sekiranya telah meninggalkan negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini.

Sabtu lepas, Fadi, seorang pensyarah kejuruteraan elektrik di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di sini, ditembak mati di luar kondominium Idaman Puteri di Setapak, semasa berjalan menuju ke Surau Medan Idaman untuk mengimami solat subuh, kira-kira pukul 6 pagi.

Dua lelaki  bermotosikal dikatakan menunggu mangsa kira-kira 20 minit sebelum melepaskan 10 das tembakan ke arah mangsa berusia 35 tahun itu.- Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com