Suri Rumah Rugi RM151,800 Diperdaya 'Lelaki Kanada' Dengan Ayat Manis


KUANTAN – Seorang suri rumah kerugian RM151,800 selepas terpedaya dengan kata-kata manis kenalan di laman sosial Facebook, yang mendakwa dirinya seorang lelaki berasal dari Kanada.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt. Mohd Wazir Yusof berkata mangsa yang berusia 51 tahun itu mula memasukkan wang berkenaan ke dalam beberapa akaun sejak berkenalan awal Januari lalu.

“Suspek telah menyatakan kepada mangsa untuk datang ke Malaysia bagi mengambil wang milik syarikat ayahnya sebanyak RM1.2 juta.

“Bagaimanapun suspek mendakwa dirinya perlu meminjam wang daripada mangsa terlebih dahulu menyebabkan mangsa memasukkan wang ke dalam akuan yang diberikan suspek,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohd Wazir menambah mangsa akhirnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, selepas menyedari dirinya ditipu.

Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.  – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com