Suri Rumah Kerugian RM9,000 Ditipu ‘Inspektor’


KUANTAN – Seorang suri rumah kerugian RM9,000 selepas diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Yusof berkata, mangsa yang berusia 54 tahun itu telah menerima panggilan daripada suspek pada 4.15 petang semalam yang memperkenalkan diri sebagai inspektor polis dari Bahagian Narkotik IPD Jerantut.

“Suspek meminta wang daripada mangsa sebanyak RM5,000 bagi melepaskan dua orang anak mangsa yang didakwa berada dalam tahanan polis.

“Mangsa dari Felda Jengka 24 kemudian telah diminta untuk ke sebuah bank di bandar Jerantut dan memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun yang diberikan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Bagaimanapun katanya selepas melakukan transaksi pertama, mangsa menerima sekali lagi panggilan daripada suspek, memintanya menambah RM4,000 lagi wang tebusan ke dalam akaun baharu yang diberikan suspek.

Selepas membuat transaksi kedua itu, katanya mangsa telah diminta menunggu selama 30 minit di hadapan IPD Jerantut.

Namun, mangsa yang menunggu hampir satu jam tidak menerima sebarang panggilan daripada suspek menyebabkan mangsa merasa ditipu dan telah masuk ke dalam balai berkenaan untuk membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com