Sultan Perkenan DUN Kedah Dibubar Hari Ini, 2.2 Juta Layak Mengundi Pada PRU14


Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dibubarkan berkuat kuasa hari ini (Sabtu) setelah mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Darul Aman, Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Ahmad Bashah berkata, pembubaran DUN tersebut menyaksikan kuasa memilih kerajaan negeri dipulangkan kepada kira-kira 1.2 juta pengundi Kedah.

Menurutnya, Barisan Nasional (BN) tetap komited untuk terus memacu agenda kemajuan Kedah demi masa depan rakyat.

“Menerusi pelbagai dasar merakyat yang sudah digerakkan dan disusun termasuk Plan Pembangunan Kedah 2019-2035 selain Manifesto BN Kedah yang praktikal dan boleh dicapai. Kita menjanjikan dasar dasar rakyat yang mudah dilaksana dan impaknya cepat dapat dirasai oleh rakyat.

“Pembuktian ‘track record’ sebelum ini dan dengan tawaran pakej kemajuan yang merata lagi menarik bersulam calon-calon yang terbaik, saya ingin menyeru kepada seluruh pengundi bermuafakat dalam satu barisan yang sama untuk membolehkan kerajaan Sunnah Wal Jamaah ini diberi mandat baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Bashah memberitahu, tindakan itu bagi memastikan keharmonian antara masyarakat berbilang bangsa, kemuliaan syiar dan syariat Islam terus dijulang dan pada masa sama, lebih banyak dasar pembangunan yang melibatkan aspirasi semua dapat dilaksana.

“Keamanan dan kestabilan berterusan sentiasa diperkasakan selain momentum kemajuan negeri boleh terus diisi dengan agenda rakyat.

“Jika BN mendapat mandat baharu, insya - Allah,  maka saya selaku Menteri Besar berikrar akan memastikan usaha kerajaan menerus kemajuan serta menzahir impian dapat terus kita jayakan,” ujarnya.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN dan 15 Parlimen. 

Negeri ini pernah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat yang diterajui PAS pada PRU 12 tetapi berjaya dirampas semula oleh Barisan Nasional pada PRU13.- Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com