Suami Isteri Di Sungai Petani Cari Ibu Kandung Bayi Usia 30 Hari


ALOR SETAR  – Akibat menerima proses penyerahan anak angkat dikenali Nur Aaliya Safiyya yang baru berusia tiga hari di hadapan pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 13 Mac lalu, sepasang suami isteri terpaksa menjejaki semula ibu kandung bayi berkenaan yang kini berusia 30 hari.

Azizul Ariffin, 32, dari Taman Serindit bersama isteri, Rasliny Abd Razak, 35, berkata bayi berkenaan diserahkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri oleh ibu kandung yang berusia 20-an kepada seorang wanita di Kota Kuala Muda pada 12 Mac lalu.

“Wanita itu bersetuju untuk mengambil bayi tersebut kerana ibu kandung bayi itu mengatakan tidak mahu menjaga anak tersebut dan sanggup membiarkan di mana-mana sahaja,” katanya.

Atas dasar belas kasihan, wanita berkenaan cuba menyelamatkan Nur Aaliya sebelum diserahkan kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu dalam urusan kebajikan berkaitan.

“Kami juga tanya wanita itu dan NGO berkaitan tentang ibu kandung Nur Aaliya Safiyya, namun mereka kata dia sudah menghilangkan diri. Nombor telefon yang dibagi juga tidak dapat dihubungi,” katanya dipetik Sinar Harian.

Proses mencari semula ibu kandung bertujuan melengkapkan syarat melalui permohonan mendapatkan sijil kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara yang masih lagi belum diluluskan sehingga kini.

Difahamkan bayi comel seberat anggaran 3 kilogram semasa dilahirkan itu dipercayai dilahirkan dalam sebuah rumah di Pulau Pinang, pada jam 7 malam, 11 Mac lalu.

Menurut Azizul, dia dan isteri amat menyayangi bayi tersebut dan bersedia menjaga seperti anak sendiri setelah menunggu 10 tahun untuk mendapat cahaya mata.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Azizul di talian 019-4706255. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com