SPR Perjelas Kekeliruan Isu Guna Simbol PKR


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan bahawa kenyataannya berkaitan penggunaan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) oleh anggota parti lain yang dilaporkan perlu mendapatkan kebenarannya telah disalah erti.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah malam semalam mengeluarkan satu kenyataan bagi menjelaskan salah faham dan kekeliruan berkaitan isu penggunaan simbol PKR oleh bakal calon daripada parti-parti lain yang perlu mendapat kelulusan SPR seperti dilaporkan semasa satu sidang media terdahulu.

“SPR tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa sekiranya ingin digunakan lambang atau simbol PKR dalam pilihan raya oleh mana-mana individu yang dibenarkan oleh PKR itu sendiri perlu dapat kebenaran SPR,” katanya.

Menurutnya, apa yang dinyatakan semasa sidang media selepas Simulasi Bilik Gerakan PRU14 itu adalah sekiranya status pendaftaran atau simbol Pakatan Harapan tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) serta lambangnya masih tidak berdaftar dengan SPR, maka ia tidak boleh digunakan dalam PRU14 sebagai bahan kempen.

“Apa yang dinyatakan pada sidang media itu ialah sekiranya seseorang calon itu bercadang bertanding atas tiket PKR, maka hanya simbol parti itu sahaja yang dibenarkan diguna semasa PRU14 untuk tujuan kempen, manakala simbol-simbol parti lain tidak boleh digunakan sebagai bahan kempen termasuk simbol DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),” katanya.

Menurutnya, kenyataan SPR telah disalah erti seolah-olah keputusan untuk penggunaan lambang PKR oleh ahli parti lain untuk tujuan pilihan raya mesti mendapat kebenaran daripada SPR.

“Ingin ditegaskan kebenaran untuk menggunakan simbol PKR oleh calon yang ingin bertanding atas tiket parti itu adalah di bawah bidang kuasa parti itu,”katanya.

Beliau berkata laporan pihak media berkenaan perkara itu adalah tersasar daripada makna sebenar yang cuba dinyatakan semasa sidang media tersebut, SPR berharap semua pihak tidak menyalah erti kenyataan tersebut.  - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com