SPR Nasihat Pengundi Di KL Keluar Awal


Pengundi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur perlu merancang waktu keluar mengundi dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, masalah mencari tempat letak kereta dan beratur terlalu lama di tempat mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), pada 9 Mei.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Heikal Kamarudin berkata pengundi hendaklah mengelak daripada keluar mengundi pada saat-saat akhir iaitu sebelum pusat mengundi ditutup pada 5 petang.

“Pengundi juga digalakkan menggunakan kenderaan awam bagi mengelakkan kesesakan trafik dan mengatasi masalah mencari tempat meletak kereta di pusat-pusat mengundi.

“Pengundi tidak boleh membawa masuk kenderaan ke dalam kawasan sekolah yang menjadi tempat mengundi atas tujuan keselamatan. Walau bagaimanapun, ‘drop off zone’ disediakan bagi membolehkan pemandu kenderaan menurunkan penumpang,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program bual bicara 1Malaysia Negaraku terbitan Bernama Radio di sini semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 9 Mei; penamaan calon pada 28 April manakala pengundian awal pada 5 Mei.

Mohd Heikal berkata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mempunyai 12 kerusi Parlimen melibatkan 1,500 saluran mengundi.

“Pengundi paling tua ditempatkan di saluran pertama yang biasanya dihadkan kepada 350 pengundi kerana mengambil kira keperluan warga emas seperti kerusi roda dan bantuan untuk bergerak.

“Biasanya pengundi dari saluran satu akan menanda kertas undi di aras bawah bangunan. Saluran seterusnya iaitu dua, tiga dan empat menyenaraikan 700 pengundi yang akan mengundi di tingkat atas. Bagaimanapun, sekiranya mana-mana pengundi muda dilihat sukar untuk naik tangga seperti masih berpantang atau selepas kemalangan, mereka akan dibenarkan mengundi di aras bawah,” kata beliau.

Seramai 10,093 petugas sementara pilihan raya akan mengendalikan urusan pilihan raya di Kuala Lumpur dan Putrajaya, kata Mohd Heikal.

Pemilih berdaftar boleh membuat semakan menerusi empat cara iaitu menggunakan aplikasi pintar MySPR Semak; portal rasmi SPR www.spr.gov.my; SMS ke talian 15888 dengan menaip SPR no. kad pengenalan atau menghubungi talian SPR 03-88927018.

Marilah rakyat Malaysia jayakan tanggungjawab anda dalam proses demokrasi negara pada PRU14.-Bernama

#jomkitasemak 
#jomkitaundi 
#undiandapenentumasadepannegara
#BersamaBN
#HebatkanNegaraku
#DahulukanRakyat
#JomBN.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com