Sokong Hamidin, KFA Tunggu Mensyuarat 15 April Ini


ALOR SETAR - Pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menetapkan tarikh 15 April ini untuk beri keputusan sama ada pihaknya akan menyokong Hamidin dilantik sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau tidak yang akan diputuskan dalam mesyuarat pengurusan persatuan itu nanti, jelas Setiausaha Agung KFA, Datuk Aminuddin Omar.

"Kami akan bermesyuarat pada 15 April ini, selepas itu baru kami buat keputusan. Bagi pihak saya tiada masalah, kerana selaku Exco FAM, saya memang menyokong Hamidin. Cuma bagi KFA, ia perlu diusulkan dalam mesyuarat," katanya memetik BH Online.

Selain itu, Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) muncul ahli gabungan kelapan yang menyokong Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden FAM.

Mengikut laporan, enam daripada 20 ahli gabungan - Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) dan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) - menzahirkan sokongan kepada Setiausaha Agung FAM itu.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) juga dilihat turut sebaris dengan enam persatuan itu selepas pemilik kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri mencadangkan nama Hamidin sebagai pengganti beliau mengisi kerusi panas itu.


Hal itu menyaksikan Hamidin memerlukan sekurang-kurangnya tiga lagi ahli gabungan menyokong beliau untuk secara kasarnya dipilih sebagai Presiden FAM ke-16 pada kongres ke-54 badan induk itu, 14 Julai depan.

Menurut Presiden MCFA, Datuk Jeffrey Low Han Chau, beliau percaya pengalaman Hamidin bekerja di bawah tiga presiden sebelum ini menjadi kelebihan utama Setiausaha Agung itu untuk membawa perubahan lebih baik kepada arena bola sepak negara.

"Apa yang penting ketika ini kami mahukan presiden yang boleh bekerja sepenuh masa dan bukan hanya separuh masa. Ia akan memberi banyak ruang buat presiden melakukan perancangan dan menguruskan FAM dengan baik.

"Berbanding presiden separuh masa, mereka mungkin berdepan kekangan masa dan tak dapat fokus 100 peratus untuk menguruskan FAM. Selain itu kami juga perlukan seseorang yang memiliki pengalaman luas dalam bola sepak.

"Jadi, pengalaman Hamidin memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung selama lima tahun sudah pasti meletakkan dirinya sebagai calon paling layak untuk menerajui FAM ketika ini," katanya ketika dihubungi, semalam.

Selain ahli gabungan, Hamidin turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menganggap Hamidin individu paling layak menerajui badan induk itu selepas TMJ.

Jika dipilih, Hamidin akan mencipta sejarah sebagai individu pertama dalam kalangan orang biasa memegang tampuk kepimpinan FAM yang sebelum ini didominasi orang kenamaan, ahli politik dan kerabat diraja. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com