SMK Convent Alor Setar Unguli Pertandingan Mural


KUALA LUMPUR – Berada  di tengah-tengah bandar raya  Alor Setar, SMK Convent Alor Setar secara zahirnya mampu untuk memukau mata sesiapa saja yang mula melangkah ke dalam kawasan sekolah ini.

Sebuah lukisan dinding yang menghiasi hampir keseluruhan bangunan  block C tiga tingkat itu berjaya mengharumkan nama sekolah itu ke peringkat kebangsaan.

Usaha keras tidak kira hujan dan panas membuahkan hasil kepada warga SMK Convent Alor Setar selepas membolot hadiah keseluruhan dan dinobatkan sebagai juara mural 1NegaraKu  peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Selain menjuarai pertandingan, mereka juga mendapat anugerah People’s Choice Award dan anugerah Nippon  Best Colour Award yang menbawa pulang jumlah keseluruhan RM12,500 beserta baucar daripada Nippon Paint.

Program yang menyerlahkan kreativiti pelajar ini dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Nippon Paint mendapat penyertaan daripada 75 buah sekolah seluruh Malaysia.

Pengetua SMK Convent Alor Setar Najamiah Mahmud, 58, berpuas hati kerana usaha mereka membuahkan hasil.

“Mural ini adalah sentuhan karya semua pihak bermula daripada guru, pelajar, pihak PIBG, pekerja sekolah, tukang kebun dan tidak ketinggalan pengawal keselamatan”.

Menurut Najamiah sejak dari awal penyertaan lagi mereka berazam untuk meraih kemenangan.

“Alhamdulillah semua pihak begitu bersemangat untuk menghasilkan mural yang menarik dan kena dengan tema”, kata beliau sambil memperkenalkan Azli Hamid, 41, tukang kebun sekolah yang turut menghasilkan arca 4 Dimensi 1NegaraKu dan Nipon Paint sebagai nilai tambah dalam pertandingan itu.

WUJUD JAWATANKUASA KHAS

Mengulas lanjut, Najamiah memberitahu pada awalnya guru pendidikan seni utama berasa bimbang untuk menyertai pertandingan itu kerana bimbang tidak mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak.

“Saya naikkan semangat beliau dengan mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengukuhkan lagi penyertaan kami dalam pertandingan ini”. Beliau menjelaskan jawatankuasa khas itu mempunyai seramai enam guru termasuk beliau sendiri dan 23 pelajar.

“Nyata, dengan wujudnya jawatankuasa khas ini semua pihak memainkan peranan masing-masing”, tambah beliau yang kerap kali datang untuk memantau dan secara tidak langsung memberi motivasi dan semangat untuk menyiapkan mural itu.

PERPADUAN PELBAGAI KAUM

Guru latih utama Pendidikan Seni, Ahmad Murad Abdul Samad, 51, selain mengakui kebimbangannya dalam aspek kerjasama, begitu juga mengenai kekurangan tenaga kerja lelaki.

“Saya risau kerja ini bukan mudah kerana ada antaranya memerlukan aktiviti panjat memanjat dan ini membimbangkan saya kerana pelajar sekolah ini semua perempuan, guru lelaki yang ada hanya berapa kerat sahaja.”

“Nyata apa yang membimbangkan saya itu bukanlah menjadi masalah utama”.

“Alhamdulillah rupa-rupanya pelajar perempuan kini tidak boleh dipandang dengan sebelah mata, mereka mampu memanjat untuk mengecat di bahagian tinggi sambil diawasi dan dibantu oleh guru yang lain.”

Beliau turut menambah lukisan itu ‘hidup’ dan mempuyai ‘jiwa 1 NegaraKu’ kerana ia mendapat sentuhan daripada pelbagai kaum.

“Suasana masyarakat majmuk yang ada di SMK Convent Alor Setar ini sukar dibeli. Semua pelajar bekerjasama tanpa mengambil kira bangsa”.

RAPATKAN HUBUNGAN GURU DAN PELAJAR

Menurut pelajar yang terlibat secara langsung dalam aktiviti itu Alya Sofiya,17, menyatakan mereka bersama-sama guru bertungkus-lumus untuk menghasilkan mural ini dalam masa yang ditetapkan.

“Masa yang diberikan hanya dua bulan, jadi kami mengambil inisiatif untuk ‘stay back’ setiap hari persekolahan sehingga 7.00 malam dan kami datang ke sekolah untuk menyiapkannya pada cuti sekolah dari pagi sehingga petang.”

“Kami sangat bersemangat untuk menyiapkan mural ini, tambahan pula mendapat sokongan daripada pelbagai pihak. Di samping itu, ia merapatkan hubungan kami sesama pelajar dan guru.”

“Dulu kami hanya bercakap secara formal dengan Cikgu Murad di dalam kelas, itu pun mengenai kursus yang diberikan, tetapi kini kami semua menjadi lebih mesra  kerana tugas menyiapkan mural ini memerlukan komunikasi yang efisyen untuk melahirkan kata sepakat yang padu”. Jelas beliau yang menambah pihak sekolah menyediakan makanan sepanjang mereka menyiapkan lukisan ini.

KUMPUL “LIKE”

Alya turut menambah untuk memenangi anugerah People’s Choice Award, mereka perlu mendapatkan sebanyak mungkin ‘like’ daripada orang awam melalui laman social Facebook.

“setelah siap lukisan yang dihasilkan, kami bertungkus-lumus pula  mempromosikan lukisan yang kami hasilkan di Facebook.

Alhamdulillah, kami mendapat banyak sokongan daripada alumni serta keluarga untuk share page kami. Oleh itu kami mendapat banyak ‘like’ termasuk dari orang luar negara” jelasnya dengan penuh semangat.

MAKSUD TERSENDIRI

Mengulas lanjut mengenai lukisan yang dihasilkan, Rusmawati Kaman,59, yang juga guru pendidikan seni di sekolah berkenaan menjelaskan di samping memastikan lukisan ini cantik, tujuan utama mereka adalah untuk menyampaikan maksud tersirat lukisan itu sendiri.

“Bentuk hati dan tangan di tengah-tengah lukisan itu melambangkan perpaduan masyarakat Malaysia. Kami mahu menonjolkan elemen toleransi antara kaum“

“Selain daripada itu, tidak ketinggalan mercu kerajaan, kejayaan Malaysia dan rumah-rumah ibadat juga dilukis dalam mural ini.”

“Kalau perasan ada perkataan ‘Negaraku’ yang ditulis dengan tulisan khad oleh ustaz sekolah ini sendiri, ia sebagai satu nilai tambah kepada lukisan ini” ujarnya.

Menurut guru geografi Basir Othman, 51, kejayaan membolot semua hadiah yang dipertandingkan membuatkan letih mereka hilang tanpa dirasai. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com