Sistem Tergendala, Lelaki Tumbuk Skrin ATM Di Georgetown


GEORGETOWN - Berang kerana sistem tergendala, seorang lelaki mencederakan tangan sendiri dengan menumbuk skrin mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Air Itam, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian itu disedari seorang anggota polis yang melakukan rondaan di bank terbabit jam 1.35 pagi.

Sumber berkata anggota polis terbabit terkejut apabila melihat skrin mesin ATM berkenaan pecah dan ada tompokan darah di lantai bank.

"Susulan itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya mengesan suspek beberapa jam selepas itu ketika dia mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana cedera di tangan.

"Hasil siasatan, suspek mengaku menumbuk skrin mesin ATM terbabit kerana geram berikutan sistem tergendala ketika dia memeriksa baki akaunnya," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati suspek yang berusia 36 tahun itu memiliki tiga rekod kesalahan berhubung kes dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com