Silap Besar Percaya DAP


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) memerlukan sokongan lebih kukuh daripada masyarakat Cina bagi memastikan kelangsungan komuniti itu terus terjamin di bawah pentadbiran kerajaan BN.

Beliau berkata, malah, lebih ramai wakil daripada komuniti itu amat diperlukan dalam pentadbiran kerajaan kerana pada masa ini hanya ada enam peratus ahli Parlimen Cina yang menyokong kerajaan berbanding populasi 23 peratus penduduk negara ini.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, untuk itu, mereka tidak seharusnya mempercayai segala agenda dan strategi gabungan pembangkang PKR untuk meraih sokongan komuniti itu termasuk menyebarkan dakyah bahawa akan berlaku ‘tsunami Melayu’ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya boleh menjamin anda semua (masyarakat Cina) apa yang kita boleh laksanakan lagi untuk komuniti Cina (jika BN te­rus mentadbir kerajaan) dan kita perlukan lebih ramai wakil (Cina) dalam kerajaan.

“MCA dan Gerakan telah be­kerja keras untuk mendapatkan sokongan masyarakat Cina. Saya sering mendapat permohonan daripada Datuk Seri Liow Tiong Lai (Presiden MCA) dan Datuk Seri Mah Siew Keong (Presiden Gerakan) apa yang boleh kita laksanakan lagi untuk komuniti ini.

“Ini apa yang BN boleh janjikan untuk menyediakan segala kemudahan bagi komuniti ini. Oleh itu, adalah satu kesilapan besar jika mempercayai apa yang DAP cakap termasuk untuk mengkaji semula perjanjian perdagangan kontrak dengan China sedangkan negara itu merupakan rakan dagang terbesar dengan Malaysia,” katanya ketika merasmikan ba­ngunan ba­­haru Sekolah Mene­ngah Kuen Cheng di sini semalam.

Yang turut hadir ialah Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan; Timbalan Menteri Pendi­dikan, Datuk Chong Sin Woon dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Tinggi Kuen Cheng, Tan Sri Lee Shin Cheng.

Dalam pada itu, Najib turut menempelak tindakan DAP untuk bertanding secara terus dengan MCA dan Gerakan dalam PRU-14 dan ia hanya akan melemahkan kuasa komuniti Cina di negara ini.

“Strategi yang digunakan DAP itu adalah tidak berperikemanusiaan dan hanya akan melemahkan lagi komuniti Cina di negara ini,” katanya.

Najib berkata, berdasarkan rekod terdahulu, kerajaan pimpinan BN sentiasa mendengar permasalahan komuniti Cina daripada pemimpin MCA dan Gerakan termasuk permintaan untuk mewujudkan lebih banyak sekolah Cina yang baharu selain menyelesaikan masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah itu.

Dalam hal tersebut, kata beliau, kerajaan telah meluluskan pembinaan 10 sekolah Cina baharu dan tiga daripadanya sudah dilancarkan di Johor baru-baru ini selain meluluskan penubuhan Universiti Xiamen dan melanjutkan tempoh pajakan selama 99 tahun kepada Sekolah Menengah Persendirian Chung Hwa, Kuala Lumpur.

“Malah, keputusan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) juga sudah menjadi sebahagian daripada manifesto BN dengan syarat perlu mendapat kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan lulus subjek Sejarah.

“Banyak lagi kejayaan akan terus digapai ketika pihak lain telah memulakan persepsi yang sangat tidak bertanggungjawab dan negatif (terhadap keupayaan kerajaan BN),” katanya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com