Shahanim Enggan Komen Tentang Johari, Biar Orang Sg Petani Nilai Sendiri...


SUNGAI PETANI - Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohd Yusoff enggan memberi sebarang komen terhadap Dato' Johari Abdul yang merupakan penyandang bagi kerusi berkenaan.

Sebaliknya, Senator Dewan Negara itu lebih senang untuk menyerahkan kepada rakyat, khususnya pengundi di parlimen itu untuk menilai sendiri prestasi Johari selepas dua penggal menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

"Biarlah rakyat dan pengundi Sungai Petani yang nilai sendiri. Saya tidak mahu komen apa-apa mengenai calon lawan.

"Saya yakin, penduduk Sungai Petani cukup tahu tentang prestasi beliau selama dua penggal menjadi wakil rakyat. Biar mereka saja yang terjemahkan melalui kertas undi pada 9 Mei ini," katanya kepada Kedahnews.com di sini, semalam.

Mengulas mengenai peluang bagi BN untuk merampas kembali kerusi parlimen tersebut, Shahanim berkata, beliau yakin bahawa rakyat di seluruh parlimen itu juga kini menyedari bahawa pemimpin BN sebenarnya lebih peduli dan banyak membantu mereka.

Anak jati Sungai Petani itu berkata, meskipun parlimen itu diwakili oleh pemimpin PKR, namun hakikatnya para pemimpin BN yang menjadi tempat rakyat mengadu nasib dan memberi pertolongan sedaya upaya kepada mereka.

"Contohnya jika berlaku bencana alam seperti ribut, banjir dan sebagainya, kepada kami pemimpin BN inilah tempat mereka mengadu. Kepada kami juga mereka mengharapkan bantuan dan sebagainya.

"Sebagai pemimpin, kami semua cuba sedaya upaya membantu semua yang datang memohon pertolongan. Itulah konsep peranan pemimpin sebenar daripada sudut pandang kami pemimpin BN di Sungai Petani," ujar beliau.

Selain itu, Shahanim turut menjelaskan bahawa kemenangan PKR di parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (Dun) di Sungai Petani juga lebih banyak dibantu oleh PAS yang memiliki jentera parti yang lebih tersusun dan komited.

Katanya, "penceraian" di antara PKR dan PAS secara tidak langsung telah merugikan PKR yang sebelum ini hanya bergantung harap kepada sokongan daripada jentera PAS yang berkempen untuk mereka selama dua penggal.


"Pada pandangan saya, PKR kini hilang jentera PAS yang selama ini sangat membantu calon mereka di Sungai Petani.

"Ia secara tidak langsung memberi kelebihan kepada kita kali ini," katanya lagi.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani itu berkata, sekiranya Allah mengizinkan kemenangan kepadanya tanggal 9 Mei itu, beliau berjanji akan memberikan 100 peratus komitmen untuk memberi khidmat yang lebih baik daripada sebelumnya.

Ujar beliau, sebagai anak jati Sungai Petani, beliau tidak akan "lari" daripada tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan akan sentiasa berada di parlimen berkenaan berbanding sesetengah ahli parlimen yang dikatakan sering "ghaib" khususnya ketika diperlukan rakyat.

"Kak Hanim takkan lari. Kak Hanim akan tetap bersama rakyat. Susah senang, kita akan bersama selama diberi mandat sebagai wakil rakyat Sungai Petani. Itu ikrar saya," tegas beliau dalam nada serius.

Shahanim sebelum ini dilantik sebagai Senator Dewan Negara bagi mengenang ketokohannya sebagai pemimpin wanita yang sering mendengar rintihan masyarakat dan mengambil inisiatif membantu mereka khususnya ketika ditimpa musibah.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi BN, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan Pengerusi BN Negeri, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, atas kepercayaan yang diberikan bagi menggalas wadah perjuangan sebagai calon BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kali ini.

Pertama kali dicalonkan, Shahanim dilihat sebagai antara calon "favourite" yang memiliki potensi besar untuk merampas kerusi Parlimen Sungai Petani daripada PKR pada pilihan raya, 9 Mei ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com