Semua Di Gaza Bersalah: Israel


BAITULMAQDIS - Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman baru-baru ini menegaskan ‘tiada sesiapa yang tidak bersalah’ di Semenanjung Gaza yang ditadbir Hamas selepas 10 hari bantahan dan pertempuran yang mengorbankan 30 penduduk Palestin.

“Tiada siapa yang tidak bersalah di Semenanjung Gaza.

“Semuanya ada kaitan dengan Hamas, semua orang mendapat gaji daripada Hamas dan semua aktivis cuba mencabar kami dan melanggar sempadan adalah pejuang sayap tentera Hamas,” kata Lieberman kepada radio awam Israel.

Israel berhadapan persoalan berhubung penggunaan peluru hidup selepas 10 hari bantahan dan pertempuran sepanjang sempadan Semenanjung Gaza yang menyaksikan tenteranya membunuh 30 penduduk Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Keganasan memuncak lagi kelmarin, apabila pertempuran meletus ketika ribuan penduduk Palestin mengadakan tunjuk perasaan di sepanjang sempadan, dan sembilan warga Palestin termasuk wartawan, dibunuh.

Pada 30 Mac lalu, tentera Israel membunuh 19 warga Palestin ketika bantahan oleh puluhan ribu penduduk wilayah itu membawa kepada pertempuran.

Israel berkata, ia cuma melepaskan tembakan apabila perlu menghalang kerosakan pada pagar sempadan, cubaan menyusup masuk dan cubaan menyerang.

Namun kumpulan hak asasi manusia mengecam tindakan tentera rejim Zionis itu dan Palestin berkata, penunjuk perasaan ditembak walaupun tidak memberi ancaman kepada tentera.

Kesatuan Eropah dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menggesa siasatan bebas diadakan tetapi dibantah Israel.-AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com