Selepas 22 Tahun, Mahathir Baru Sedar Kerajaan Tak Tepati Penjanjian Sabah, Sarawak


KUALA LUMPUR – Calon "sementara" Perdana Menteri yang bakal bertanding di atas tiket PKR, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa beliau hanya mewarisi sistem dan pendekatan ke atas Sabah dan Sarawak yang dicipta oleh dua Perdana Menteri terdahulu sebelum beliau.

Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun mendakwa hanya sedar sistem dan pendekatan Kerajaan Persekutuan ke atas Sabah dan Sarawak tidak mengikut perjanjian selepas menyertai pembangkang tahun lalu.

“Saya jadi Perdana Menteri bermula tahun 1981 dan mewarisi sistem dan pendekatan yang dicipta Perdana Menteri sebelum saya Tun Hussein Onn dan Tunku Abdul Rahman.

“Saya cuma meneruskan cara-cara perhubungan Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Sabah dan Sarawak. Sekarang saya sedar ia tidak menepati perjanjian pada tahun 1963,” dakwanya dalam satu ucapan yang disiarkan di Facebook semalam.

Tunku Abdul Rahman dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan dan juga Bapa Malaysia, manakala Tun Hussein Onn dikenali sebagai Bapa Perpaduan Malaysia.

Mahathir seterusnya berkata, pada tahun 1963 sebenarnya adalah perjanjian antara Kerajaan Pusat dengan Sabah, Sarawak dan Singapura.

Menurut beliau, perjanjian dengan Singapura dibatalkan dan Kerajaan Persekutuan meneruskan perjanjian dengan Sabah dan Sarawak.

“Ada tiga entiti, tetapi bila kita laksanakan perjanjian kita letakkan Sabah dan Sarawak salah satu daripada 13 negeri di Malaysia. Ini berlainan daripada perjanjian.

“Sepatutnya anggap Kerajaan Pusat, Sabah dan Sarawak, ketiga-tiga ini sebagai wilayah yang telah mengadakan perjanjian,” dakwanya.

Justeru, katanya, Pakatan Harapan berpendapat Kerajaan Pusat, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak harus kembali kepada perjanjian 1963.

Mahathir seterusnya mendakwa beliau tidak pernah mengatakan rakyat Sabah dan Sarawak pemalas, sebaliknya akhbar Utusan Malaysia yang membuat dakwaan tersebut.

“Utusan yang anggap orang Sabah dan Sarawak malas. Bukan Pakatan Harapan,” dakwanya. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com