Selagi Diberi Mandat, Harga Lima Barangan Keperluan Asas Kekal


ALOR SETAR - Kerajaan memberi jaminan tidak akan menaikkan harga lima barangan keperluan asas selagi Barisan Nasional (BN) diberikan mandat mentadbir negara ini.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin,  lima barangan keperluan asas itu membabitkan beras, minyak masak, gas masak, tepung dan gula.

Jelasnya, lima barangan itu digunakan pelbagai lapisan masyarakat dan kerajaan perlu memastikan harganya dikawal.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri beritahu harga barangan ini tidak boleh dinaikkan kerana ia untuk kepentingan rakyat," katanya memetik BH Online.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Jualan Koperasi dan Kenduri Rakyat peringkat Kedah di Felda Lubok Merbau di sini, kelmarin.


Tambah Hamzah, janji itu dengan sendirinya menafikan dakwaan sesetengah pihak harga barangan asas tersebut akan naik.

Sementara itu, beliau berkata, Program Jualan Sentuhan Rakyat anjuran KPDNKK memanfaatkan kira-kira empat juta rakyat di seluruh negara sejak diperkenalkan dua bulan lalu.

Dalam program di 700 lokasi di seluruh negara itu telah mencatat nilai jualan RM35 juta setakat ini.

Program Jualan Sentuhan Rakyat turut menawarkan 27 barangan keperluan rakyat yang dijual pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran.

Hamzah berkata, cadangan penganjuran program jualan itu dibuat sejak dua tahun lalu tetapi hanya boleh dilaksanakan sekarang bagi memastikan kejayaannya.

"Ini bukan diadakan sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Ia mengambil masa kerana kita nak pastikan barangan yang dijual mencukupi dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com