Sekolah Rendah Paling Sesuai Pupuk Integrasi Kaum, Perpaduan


BAGAN DATUK - Usaha memupuk integrasi dan perpaduan kaum paling sesuai dilakukan di peringkat pra sekolah dan sekolah rendah, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tanggungjawab itu bukan sahaja mahu dicapai melalui kurikulum, malah perlu digalas pengurusan sekolah dan masyarakat keseluruhan.

Katanya, integrasi perpaduan di kalangan murid harus didik sejak pra sekolah, namun peringkat sekolah rendah paling berkesan.

"Oleh kerana sekolah rendah mengambil masa enam tahun maka didikan integrasi ini ini cukup berkesan jika dibuat dalam tempoh enam tahun itu iaitu tahun satu hingga tahun enam.

"Usaha ini bukan sahaja berdasarkan dari segi kurikulum atau silibus tetapi juga harus diusahakan oleh pengurusan sekolah, bukan hanya tanggungjawab guru besar dan guru tetapi juga ibu bapa dan masyarakat agar integrasi ini dapat dibentuk di kalangan murid sekolah rendah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Hari Sukan dan Olahraga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yeong Seng di Hutan Melintang, dekat sini semalam.

Ahmad Zahid berkata, ketika ini perpaduan agak terjejas dan berlaku jurang budaya dan disebabkan itu, beliau menyarankan harus ada asimilasi sosial komunikasi silang budaya agar masyarakat pelbagai kaum dan etnik di negara ini dapat memahami budaya masing -masing dengan lebih mendalam.

"Ini tidak boleh dibuat hanya dalam sukatan pelajaran atau silibius tetapi ianya mesti dilakukan melalui asimilasi sosial dan komunikasi silang budaya, dua elemen ini penting dan contoh terbaik adalah di SJKC Yeong Seng ini," katanya.

Ahmad Zahid berkata, SJKC Yeong Seng turut mempunyai murid Melayu dan India sekali gus membuktikan sekolah itu bukan untuk kaum Cina sahaja.

Katanya, minat kalangan ibu bapa bukan Cina menghantar anak mereka ke SJKC juga semakin meningkat kebelakangan ini.

"Kerajaan mengharapkan agar ada integrasi di SJKC kerana sudah ada minat ibu bapa menghantar anak ke SJKC untuk belajar bahasa Mandarin kerana ianya antara bahasa terbesar di dunia.

"Ini tentunya harus digalakkan kerana bahasa Mandarin sudah menjadi bahasa perdagangan dan lingua franca digunakan masyarakat antarabangsa," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com