Sekolah Boleh Cuti Berganti Sehari Sebelum Mengundi


ALOR SETAR – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi kebenaran kepada sekolah yang digunakan sebagai pusat mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) untuk mengambil cuti berganti sehari sebelum hari pengundian.

Mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 2 1995: Persediaan Bagi PRU, perkara itu membolehkan pengetua atau guru besar memohon cuti berganti melalui pengarah pendidikan negeri masing-masing.

“Bagaimanapun ia hanya terhad kepada sekolah yang digunakan sebagai pusat pengundian manakala cuti berganti hanya boleh diambil sehari sebelum hari pengundian, bukannya selepas hari pengundian,” katanya memetik Bernama.

Beliau kepada kepada pemberita selepas merasmikan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan ‘Sokongan Komuniti Untuk Sekolah’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang di sini kelmarin.

Mahdzir berkata demikian mengulas permintaan Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia yang meminta kementerian membenarkan sekolah mengambil cuti berganti bersempena PRU14 selepas hari pengundian.

Susulan perkara itu, Mahdzir memohon agar pengetua dan guru besar membuat permohonan secepat mungkin sekiranya ingin mendapatkan cuti berganti tersebut.

Sebanyak 6,971 sekolah di seluruh negara akan digunakan sebagai pusat pengundian pada 9 Mei. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com