Sebelum TV,Batu Dan Jubin Kerap Dibaling Dari Atas


AMPANG - Insiden baling objek dari tingkat atas pangsapuri di Taman Seri Intan, di sini, bukanlah kali yang pertama.

Sebelum ini, penduduk 208 unit pangsapuri 13 tingkat itu sering berhadapan risiko terkena objek yang dibaling oleh individu yang tidak dapat dikesan

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Taman Seri Intan, Adnan Yahaya, 59, berkata pihaknya sudah banyak kali mengemukakan aduan mengenai kejadian itu kepada pihak yang berkenaan, tetapi tiada tindakan yang diambil.

Katanya, televisyen yang dibaling daripada tingkat 13 dalam kejadian Jumaat lalu menjadi objek yang paling besar pernah dibaling ke bawah di pangsapuri yang didiami hampir 30 peratus warga asing.

"Sebelum ini antara objek yang sering dibaling ke bawah adalah batu, kayu, jubin dan sampah, banyak kenderaan rosak akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"Paling teruk, tiga tahun lalu, seorang penyewa warga Myanmar koma lebih seminggu akibat terkena sebiji batu yang dibaling dari atas.

"Bagi saya, ini adalah satu masalah yang amat sukar untuk kita tangani, ia berkait rapat dengan mentaliti dan sikap penduduk itu sendiri," katanya ketika ditemui.

Mengulas lanjut mengenai kejadian Jumaat lalu, Adnan berkata dia baru sahaja melalui lokasi di mana televisyen itu dibaling ketika dalam perjalanan ke masjid untuk solat Jumaat

"Selang tiga ke empat minit kemudian, saya terdengar bunyi letupan yang amat kuat, saya bergegas ke lokasi kejadian dan saya lihat sebuah televisyen jatuh terkena sebuah kereta milik penduduk.

"Dua ke tiga minggu sebelum kejadian, pemilik televisyen berkenaan sudah ditegur beberapa kali supaya tidak meletakkan televisyen itu di kaki lima hadapan rumahnya, dan diminta agar segera membuangnya di tempat pembuangan sampah di bawah.

"Syukur tiada yang menjadi korban, saya harap ia dijadikan pengajaran buat penduduk di sini," katanya.

Beliau berkata, kesan daripada kejadian itu juga JMB mengambil langkah untuk mengetatkan peraturan berhubung meletak objek di koridor.

Katanya, jika ada objek diletakkan di koridor, pihaknya akan mengambil gambar objek dan unit rumah yang terbabit, kemudian objek itu akan ditanda.

"Apabila objek itu dibaling ke bawah, kita akan terus membuat laporan polis dengan memaklumkan siapa pemilik objek berkenaan.

"Mungkin dilihat sebagai agak drastik, tetapi keadaan terdesak memerlukan tindakan yang agresif," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com