“Saya Tak Gunakan Cantik Untuk Tarik Undi” - Bekas Ratu Cantik


CALON Parti Warisan Sabah bagi kerusi DUN Kiulu, Jo Anna Henley Rampas mungkin merupakan bekas ratu cantik, namun itu tidak bermakna dia mahu atau cuba untuk memikat pengundi hanya bersandarkan rupa parasnya.

Malah, wanita kacukan Dusun-Inggeris itu sebenarnya seorang yang berpendidikan tinggi dan dilahirkan dalam keluarga yang telah menjadi pemimpin masyarakat tempatan sejak turun-temurun.

“Saya tak ‘gunakan’ kecantikan sebagai tiket dalam kerjaya politik,” kata Jo Anna semasa dikerumuni pihak media pada proses pemilihan calon di Dewan Sri Sulaman,Tuaran, Sabah, semalam.


Jo Anna bakal bertanding dengan calon Parti Bersatu Sabah, Datuk Joniston Bangkuai yang mempertahankan kerusi bagi Barisan Nasional; Terence Sinti, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Gaibin Ransoi dari Parti Cinta Sabah.

Bagaimanapun, wanita berusia 29 tahun itu tidak gentar dengan persaingan sengit yang harus dihadapinya.

“Datuk sebelah ibu saya pernah menjadi pemimpin komuniti di Kiulu suatu ketika dahulu, dan bapa saudara saya iaitu Louis Rampas merupakan bekas Ahli Undangan Negeri (ADUN) di sini, selama tiga penggal.

“Ibu saya juga pernah menjadi calon BN di sini juga pada tahun 1994. Jadi, mungkin ini menjadi salah satu faktor mengapa saya ambil keputusan untuk menyertai politik,” katanya.

Jo Anna dilahirkan di Kota Kinabalu dan dibesarkan oleh neneknya di Kampung Poturidong, Kiulu, sehingga berusia 9 tahun.

Dia kemudiannya berpindah ke Penampang dan kemudian menetap di Kuala Lumpur.

Kata Jo Anna, jika dia dipilih menjadi wakil rakyat, dia mahu berjuang untuk meningkatkan pendapatan penoreh getah dan menangani isu geran tanah di Kiulu.

“Saya amat berharap agar masyarakat tidak terlalu mengambil perhatian terhadap rupa paras saya, sehingga ada yang menganggap saya menggunakan kecantikan saya untuk menarik undi,” tambah Jo Anna lagi.

Kerusi DUN Kiulu terletak di bawah Parlimen Tuaran dan mempunyai 12,978 orang pengundi berdaftar. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com