‘Saya Tak Ada Tangan Tapi Tak Akan Minta Sedekah’


KUALA LUMPUR – “Walaupun saya tidak mempunyai kedua-dua tangan, saya tidak meminta sedekah. Selagi ada kudrat, saya akan terus mencari rezeki halal dengan apa cara sekali pun.

“Buat masa ini, saya bahagia dengan cara hidup saya. Biarpun hanya bergantung dengan bantuan Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ada masanya saya juga membantu orang lain kerana yakin ada balasan untuk saya satu hari nanti,” kata Mohd Nor Abdullah.

Pemuda berusia 26 tahun itu sering menjadi tumpuan orang ramai yang berkunjung ke restoran di sekitar Cheras kerana dia makan menggunakan kaki.

Katanya, sejak lahir dia bergantung penuh dengan kedua-dua kakinya yang menjadi ‘tangan’ untuk melakukan apa saja kegiatan harian termasuk bekerja mencari rezeki.

Sejak lebih setahun lalu, dia menjana pendapatan dengan melakukan pelbagai kerja seperti pembantu gerai, restoran dan terbaru, penjaga kawasan letak kereta berhampiran stesen Transit Aliran Ringan Cheras.

“Alhamdulillah, saya boleh menguruskan kehidupan sendiri. Sebelum ini, saya jadi pembantu di beberapa gerai pasar malam sekitar ibu negara dengan upah antara RM20 hingga RM30 sehari.

“Saya juga mendapat bantuan JKM dan Baitulmal sebanyak RM650 serta bayaran sewa bilik. Ia cukup untuk belanja makan, pakaian dan telefon. Jika ada rezeki lebih, saya bantu orang lain pula, setakat belanja makan, apalah sangat,” katanya.

Dalam pertemuan bersama wartawan, Mohd Nor menunjukkan bagaimana kakinya menjadi ‘tangan’ untuk memegang sudu, menggunakan telefon, menggalas beg dan membalas mesej.

Selain kaki, dia juga membuka kata kekunci serta menaip di telefon pintarnya menggunakan hidung dengan pantas tanpa kesalahan ejaan.

Majikannya, Roslee Hadi, 53, berkata, semangat dan kebaikan ditunjukkan Mohd Nor menyebabkan dia terpanggil memberikan pekerjaan kepadanya. 

Sumber– myMetro Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com