'Saya Sedar Bahaya Anak-Anak, Saya Bukan Sengaja Tagih Simpati...' - Makcik Viral


“MEMANG saya sedar bahaya membawa anak naik motosikal tanpa memakai topi keledar, tetapi saya tiada pilihan lain kerana bimbang tinggalkan anak kecil di rumah tanpa pengawasan orang dewasa memandangkan suami dan anak sulung keluar bekerja," kata Suriani Aziera Shahril, 32.

Tindakan Suriani Aziera menunggang motosikal dengan membawa empat anak kecil bersama tanpa memakai topi keledar mendapat pelbagai reaksi netizen selepas ditularkan seorang wanita yang bertemu dengan lima beranak itu di jalan raya, Jumaat lalu.

Menurutnya, pada hari kejadian dia bersama empat anak berusia empat hingga sembilan tahun keluar dari rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu ke Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara selepas solat Zuhur untuk mendapatkan bantuan keperluan makanan.

“Bekalan makanan kami sudah terputus, hendak tunggu gaji suami pada 5 April ini masih lama. Jadi, saya cuba ikhtiar mendapatkan bantuan di masjid berkenaan selepas disyorkan seorang kenalan kerana kasihan dengan anak-anak yang hanya makan nasi kosong dan mi segera untuk mengalas perut.

“Saya terpaksa membawa empat anak bersama ke masjid itu kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku kepada anak kecil memandangkan rumah kami di tingkat 14 dan kebetulan ada tingkap terbuka yang belum mampu kami gantikan dengan cermin baru,” katanya.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka selepas mendapatkan makanan di masjid itu, dia ditahan seorang wanita dikenali sebagai Fatimah yang simpati melihat situasi lima beranak terbabit.

“Bukan saya sengaja meminta simpati dengan cara ini (tular) tetapi itu semua hanya kebetulan. Saya tidak akan melupakan jasa wanita itu kerana dia, saya dihubungi ramai pihak yang bertanyakan keadaan sebenar serta ada yang mahu membantu.

“Ada juga mengecam saya kerana tidak mempedulikan keselamatan anak, namun saya diamkan saja kerana mereka tidak tahu kedudukan sebenar.

“Jika tidak terdesak, saya tidak akan pergi meminta bantuan kerana ini kali pertama dalam hidup saya lakukan perkara seumpama itu. Tetapi demi keselesaan anak-anak, saya tebalkan muka dan tanggung risiko ini," katanya.

Menurutnya, suaminya bekerja sebagai kelindan lori hanya mampu meraih pendapatan RM800 sebulan, manakala anak sulungnya hanya bekerja sambilan di sebuah kedai serbaneka sementara menunggu untuk menyambung pengajian pada pertengahan bulan ini.

“Selepas menolak semua komitmen termasuk sewa rumah RM124 sebulan, lebihan gaji itu digunakan untuk menampung perbelanjaan kami lapan beranak.

“Saya juga adalah penerima bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebanyak RM350 sebulan, namun ia masih tidak mencukupi untuk menampung kehidupan kami sekeluarga di bandar besar ini," katanya.

Orang ramai yang bersimpati dan mahu meringankan beban lapan beranak terbabit boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat 220071504200 atas nama Suriani Aziera Shahril.

Sumber– Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com